Perodua mencatatkan jualan sebanyak 21,250 unit kereta pada Jun. Ia merupakan angka jualan bulanan tertinggi pada tahun ini dan menghampiri tiga kali ganda daripada bulan sebelumnya berikutan pengecualian cukai jualan yang diumumkan kerajaan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata pengecualian cukai jualan itu menawarkan banyak faedah. Dalam kes Perodua, pembeli boleh menikmati pengurangan harga kenderaan di antara tiga dan enam peratus sehingga akhir 2020.
“Peningkatan jumlah yang agak besar hasil langkah tersebut membolehkan kami membantu ekosistem pembekal dan peniaga pada masa ini. Kami membeli komponen tempatan bernilai hampir RM500 juta pada Jun.
“Kami bekerja keras untuk memastikan pelanggan menerima kereta mereka secepat mungkin tanpa sebarang kompromi terhadap keselamatan dan kualiti,” katanya dalam satu kenyataan.
Zainal Abidin berkata Perodua turut melanjutkan operasi perniagaannya di beberapa pusat servis terpilih serta hab badan dan catnya di seluruh negara. Pelanggan yang berhasrat menyelenggara kenderaan dinasihat membuat janji temu dengan pusat servis pilihan.
“ Perodua bersyukur kerana mampu meningkatkan kembali kekuatan seumpama itu dalam tempoh hanya dua bulan selepas menyambung semula operasi di seluruh negara.
“Unjuran kami adalah positif. Kami harap momentum ini akan berterusan dan membantu pertumbuhan industri,” katanya.
Perodua mengulangi komitmen kepada kerajaan sebagai pengeluar kereta terbesar di Malaysia dari segi jumlah untuk membantu industri dan ekosistem termasuk mengekalkan pekerjaan agar industri dapat mengharungi tempoh yang mencabar ini.
Perodua menjual 8,601 kereta pada Mac sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa pada 18 Mac yang menyebabkan operasinya di seluruh negara ditutup selama dua bulan. Pengeluar kereta itu memulakan semula perkhidmatannya secara rasmi pada 19 Mei dan berjaya menjual 7,886 kereta menjelang akhir bulan. – Bernama
Sumber : Mekanika
Website :https://www.mekanika.com.my/
Facebook :https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram :https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube :https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ