Rasanya kalau kami buat undian kereta terbaik pernah dihasilkan Proton, ramai yang akan memilih Satria GTI, selain dari Proton Putra dan Wira 1.8 dengan spoiler tiang gol. Itulah kehebatan Satria GTI yang membuatkan harganya di pasaran jauh lebih stabil berbanding model-model lain keluaran Proton.
Dibekalkan dengan enjin 1.8 DOHC 4G63 NA standard dan talaan suspensi oleh Lotus, ia sememangnya antara sebuah model subkompak yang lincah dan jauh berbeza berbanding dengan varian Satria lain (biasalah sama-sama bergelar Satria tapi kekuatannya memang berbeza).
Tapi ruang untuk modifikasi masih terbuka luas bagi penggemarnya. Malah dengan cagak enjin yang sama, cukup mudah sebenarnya untuk menaiktaraf Satria ini. GTI ini dimiliki oleh Mohd Firdaus tapi lebih dikenali dengan nama Abe Yoh. Bila Abe Yoh rasa power enjin asal dah kurang memuaskan hati tiba masanya untuk melakukan operasi tukar enjin.
Enjin yang dipilih oleh Abe Yoh memang sangat lemak berkrim dan disukai ramai. Enjin 4G63T diambil terus dari halfcut Evo 3 dan memang sesuai untuk menukar GTI ini kepada sebuah roket jalanan.
Sebagai sebuah enjin berprestasi tinggi dan untuk mengekalkan reliability enjin ini agar lebih tahan lama kebanyakan komponen seperti blok, piston, conrod, bearing dan crankshaft masih dikekalkan dalam keadaan standard.
Head standard turut dikekalkan tapi kini ia diadun dengan camshaft HKS 272 dan valve sprong BC. Turbo pula menggunakan TD05HL 20G EVO3 dan ia disejukkan dengan intercooler custom EVO 7. Lebihan boost dikeluarkan menerusi blow-off valve Tial dan GTI ini juga turut menerima wastegate ori Tial khusus untuk enjin 4G63T.
Intake manifold asal masih dikekalkan tapi throttle body S90 menjadi pilihan Abe Yoh untuk prestasi yang lebih baik.
Suapan bahan api kepada enjin diserahkan kepada fuel pump EPMAN, injector EVO 565cc, fuel rail HKS dan fuel regulator Works.
Satu perkara unik pada GTI ini ialah ia menggunakan coil plug Honda K20 (kira macam kahwin campur dah ni). ECU Link Plugin EVO3 menguruskan sistem komputer enjin baru GTI ini.
Kotak gear EVO 3 dipilih kerana ia paling sesuai untuk enjin baru ini tetapi final drive ditukar kepada final drive GSR. Kotak gear ini kemudiannya dipadankan pula dengan klac single plate OS Giken yang memberikan prestasi lebih baik dan menjamin tukaran gear yang lebih lancar.
Gas ekzos disalurkan keluar menerusi sistem ekzos HKS ori dengan inlet 3 inci dan outlet 5 inci. Sistem suspensi diperkemaskan dengan penggunaan penyerap hentak Tein EVO 3 Super Street Hi Lo Soft Hard.
Brek depan sedikit berbeza kerana ia menggunakan angkup 4-pot Lexus manakala brek belakang ialah standard EVO 3. Padanan rim Volks Racing TE37 8.5JJ dan tayar Bridgestone Potenza AD08 235/45/17 memang memberikan karisma yang berbeza untuk GTI ini.
Bahagian luaran dinaik taraf dengan penggunaan penutup bonet CF dan beberapa emblem R3 termasuklah spoiler original R3.
Tema R3 berterusan sehingga ke bahagian dalam terutamanya pada penggunaan seat depan Recaro SR4 R3 hitam merah, seat belakang Recaro R3, seat belt merah R3 dan trim pintu juga berwarna merah R3.
Hasilnya lahirlah sebuah Satria GTI R3 4G63 yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.