Lepas berjaya dengan Jazz generasi pertama dan kedua, Honda Malaysia telah memperkenalkan pula model Jazz generasi ketiga pada tahun 2014. Seperti dijangka, ia tidak terlepas dari menerima kritikan pedas oleh pakar automotif Facebook, sebaik melihat lekuk badannya yang agresif. “Tak lawa der, banyak sangat lekuknya. Baik beli Myvi,” ujar sipolan yang datang membelek-belek di bilik pameran.
Tapi lepas bersemut kat atas jalan, barulah nampak kat mana seri sebenar model ini. Lagi-lagi bila diterjemahkan oleh mereka yang kreatif. Semat jugak. Yang mana minat mekap, main mekap. Namun bagi yang pentingkan prestasi seperti Panjang, peningkatan bahagian enjin lebih diberi keutamaan.
Teruk sangat ke enjin asal? Tak jugak, nak cecah satunam pun senang. Cuma ia tidak direka untuk tujuan prestasi dan kurang tenaga untuk mereka yang kaki berat. Bagi sesetengah pemilik, pemasangan kit turbo gantung mungkin antara pilihan yang boleh difikirkan. Namun jika reliabiliti menjadi isu, menukar angin kepada enjin K20A seperti ini tentu lebih bermakna.
Pemasangan enjin K-Series ke dalam Jazz, rasanya tak susah macam dulu. Pengeluar seperti Hasport misalnya, ada mengeluarkan kit cagak enjin untuk tujuan ini. Sebelum dibenar masuk, beberapa perubahan penting telah Panjang lakukan untuk menaikkan lagi potensi enjin ini.
Kapasiti asal telah dinaikkan, hasil penggunaan blok K24A. Ini disusuli dengan penempatan set piston Supertech, conrod CP Carillo, serta galas enjin King Bearing. Bahagian kepala silinder Type R masih dikekalkan, sebelum menerima kit injap Supertech, camshaft Skunk2 Stage 3, termasuk kerja-kerja port & polish untuk melegakan bukaan liangnya.
Penerimaan udara datang dari penapis udara Skunk2, yang sengaja diletakkan pada lubang lampu tumpu di ruang bumper. Ia bersambung dengan ram udara juga dari Skunk2, sebelum dibawa ke manifold kemasukan RRC menerusi unit throttle body Super90. Bagi membentuk campuran molekul yang diperlukan, bekalan petrol dari rel bahan api K-Tuned akan ditembak masuk menggunakan set injektor Grams 550cc. Untuk respon lebih cemerlang, kaedah pemetaan enjin kini ditala sepenuhnya oleh unit ECU Hondata K-Pro.
Lepas bersilat bikin itu dan ini, agak-agak berapa kuda yang Panjang dapat? Kalau cakap 285hp okey? Baek sangat dah tuh…
Sebab fokusnya kepada enjin, Panjang hampir terlupa untuk menghias kereta ini dengan baju yang sesuai. Kalau pemilik lain sibuk dengan kit Modulo, Mugen, Noblesse dan lain-lain, Panjang nampaknya masih selesa dengan kit badan asal. Lantaklah, janji mari bila tekan. Andai tersadong di tengah jalan pun, taklah perit sangat. Yang Panjang tambah hanyalah lip, diffuser dan spoiler GT gentian karbon, termasuk penggunaan lampu depan projektor dan lampu belakang Fit GP5.
Bagi memantapkan sektor pengendalian, sistem gantungan diserah kepada set suspensi rekaan FTuned Suspension. Rim pulak jenis Volk Racing CE28 berukuran 16-inci, yang dipadankan bersama tayar Toyo R888R dari saiz 195/50R-16. Paling mengujakan padanan set brek AP Racing Pro 5000R, yang boleh merentap jantung bila cuba ditekan keras.
Seperti pengeluar kompak yang lain, Honda juga mempunyai kepakaran untuk mewujudkan ruang pada sebuah kereta kecil. Bukan takat nipiskan panel pintu, tapi turut melibatkan sela bumbung, serta bentangan depan yang luas. Untuk kerja naik taraf di bahagian ini, Panjang telah menyediakan sepasang tempat duduk Recaro SR6 di bahagian depan, stereng Personal, hub stereng Works Bell, tuas gear K-Tuned serta meter DIN dan RPM Defi.
Kemunculan Civic FK8 Type R terbaru, mungkin memberi ilham kepada peminat modifikasi. Dapat sumbat enjinnya pun mari jugak. Tapi sapa yang nak mulakan? Itu kena tunggu…