Boleh terima tak kalau kata Satria Neo, merupakan salah satu produk Proton yang paling berjaya di peringkat antarabangsa. Bukan jumlah jualan yang dimaksudkan, tapi lebih kepada penerimaannya di kalangan masyarakat permotoran. Antaranya percubaan Mellors Elliot Motorsports (MEM) dan Cusco Japan di lapangan rali, manakala R3 Motorsports dan pasukan kecil lain membantu mengangkat namanya di litar lumba.
Walaupun kelihatan lincah dan berdaya saing, Neo dengan cop kilang masih sebuah hatchback yang berat lagi malas. Enjin jenis CamPro yang dibekalkan, menghalang niatnya dari terus bersinar. Bukan cakap takde yang bikin, cuma modal yang diperlukan bukan sikit-sikit duit. Bagi yang inginkan lebih kuasa, proses penukaran enjin merupakan kaedah paling mudah untuk menaikkan semula potensinya.
Neo milik Narock Garage ini sememangnya dibina untuk nampak laju. Sebagai sebuah garaj yang mengusahakan perniagaan kit badan dan aksesori berkaitan, ia turut bertindak sebagai kereta sampelan bagi menunjukkan kemampuan mereka, khususnya melibatkan aspek penampilan.
Bahagian luaran nampak lain macam selepas disarungkan dengan bumper depan kustom rekaan Narock sendiri. Ia diilhamkan daripada bumper depan BMW M4 yang kemudiannya disalut dengan kain gentian karbon. Tak cukup dengan tu, rangkaian komponen lain turut mengenakan rawatan yang sama seperti hood, arca fender, skirt sisi, bumper belakang kustom, bonet, spoiler, penutup lampu kustom dan penutup minyak. Sementara unit splitter, cermin sisi dan fender, juga antara komponen rekaan kustom.
Kontra penampilan datang dari set rim berwarna putih yang digunakan. Kalau perasan, ada dua set sebenarnya. Depan pakai Weds Sport TC05, manakala belakang dihuni rim Kosei K1 Racing dengan offset yang agak lazat. Memastikan ia mampu menawan selekoh dengan baik, sistem gantungan dipacak pada suspensi boleh laras HWL, sambil dibantu set tayar Yokohama Advan Neova AD08 bersaiz 195/55R-15. Sementara sistem breknya digigit kaliper 4-pot milik Nissan Skyline R33 di bahagian depan.
Tumpuan seterusnya terletak di bawah hood. Tiada lagi deruman kuasa dari enjin CamPro S4PH yang asal, sebaliknya digantikan dengan nadi 4G93 yang lebih dipercayai. Bukan versi terbalik seperti yang digunakan oleh pemilik Neo lain, tapi varian sebelumnya yang biasa digunakan oleh model Proton 1.8-liter generasi terdahulu. Baru ada cabaran!
Disebabkan konfigurasinya yang berbeza, kedudukan enjin ini perlu dipusing 180 darjah ke belakang. Mudah citer, bahagian ekzos kini menghadap dinding enjin, sementara manifold kemasukan berada di bahagian depan. Macam nadi K-Series dan enjin moden sekarang. Bagi sebuah enjin NA, ia tentunya lebih efisyen memandangkan bekalan udara sejuk dan segar dapat diserap masuk secara terus.
Kemasukan enjin ini memerlukan bahagian cagak enjinnya diubahsuai. Tak buat apa pun, tambah breket dan spacer dah boleh gantung. Sedikit perubahan turut dilakukan pada enjin ini seperti penggunaan piston 82mm, conrod H-beam K1 Technologies, serta galas enjin ACL Race. Bahagian kepala silinder pula menempatkan set camshaft Piper Cams kustom, serta sepasang cam pulley boleh laras Works Engineering.
Dah kot mana anginnya masuk? Tak nampak pun throttle body kat hujung manifold kemasukan kustom tu? Ia sebenarnya berada di bawah, betul-betul di bahagian tengah dan berhubung dengan unit throttle body Super90 serta penapis udara Apexi. Selari dengan itu, bekalan petrol dipancitkan ke kebuk pembakaran menggunakan set injektor 275cc pada rel bahan api Works Engineering. Sementara kuasa cucuhan datang dari pek coil-on-plug, sebelum diserahkan kepada unit pengurusan MaxxECU Mini untuk tujuan talaan.
Sistem ekzos juga antara yang mampu mencuri tumpuan. Tertonjol di belakang enjin adalah unit ekstraktor ekzos jenis tuned length yang memang saja direka begitu rupa. Kuasa pacuan menggunakan kotak gear 4G92 MIVEC CK dan dilapik set klac Exedy Racing. Lain-lain komponen yang digunakan termasuklah, radiator jenis aloi, tangki simpanan Proflow dan tangki perangkap minyak kustom.
Hiasan dalaman masih berupa sebuah Neo, dengan sedikit DNA resing di sana-sini. Paling jelas kehadiran set half cage Ultra Racing, yang memenuhi keseluruhan ruang belakang. Kemudian ada tempat duduk Recaro Integra DC2, stereng OMP, hub stereng Arospeed, meter tambahan Defi, paparan Defi ZD, serta trim dashboard kelvar merah untuk sentuhan kosmetik.
Ganeh dah nampak, laju berkemungkinan. Baru tak segan kalau wayang mana-mana…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Muhd Zulkefflee (Narock)
- Pengeluar – Proton
- Model – Satria Neo
- Tahun – 2009
- Enjin asal – CamPro S4PH
- Modifikasi Enjin – 4G93, cagak enjin kustom, piston 82mm, conrod H-beam K1 Technologies, galas enjin ACL Race, camshaft Piper Cams kustom, cam pulley boleh laras Works Engineering, manifold kemasukan kustom, throttle body Super90, penapis udara Apexi, injektor 275cc, rel bahan api Works Engineering, regulator Works Engineering, pek coil-on-plug, MaxxECU Mini radiator aloi, tangki simpanan Proflow, tangki perangkap minyak kustom
- Transmisi – Kotak gear 4G92 MIVEC CK, klac Exedy Racing
- Ekzos – Ekstraktor tuned length kustom, paip 2.5-inci kustom
- Luaran – Bumper depan & belakang kustom, hood, arca fender, skirt sisi, bonet, spoiler, penutup lampu kustom & penutup minyak gentian karbon, splitter, cermin sisi & fender kustom
- Suspensi – HWL
- Brek – Nissan Skyline R33 (depan)
- Rim & Tayar – Weds Sport TC05 15-inci (depan), Kosei K1 Racing 15-inci (belakang), Yokohama Advan Neova AD08 195/55R-15
- Dalaman – Tempat duduk Recaro Integra DC2, stereng OMP, hub stereng Arospeed, meter Defi, paparan Defi ZD, trim dashboard kelvar merah, half cage Ultra Racing
- Bengkel – Narock Garage Batu Caves, Fastwork Garage Johor Bahru