Menurut bancian jabatan hutan wilayah timur selatan, jumlah pemilik Wira yang sanggup menghabiskan duit mereka untuk menghasilkan sesuatu yang diidamkan sebenarnya sangat tinggi. Bukan takat luaran, enjin dan komponen dalaman pun sering terlibat sama. Dan jumlah ini jika dikumpulkan, mampu membolehkan mereka membeli sebijik Lancer pekak secara cash!
Tapi nak dapat sebijik Lancer pun bukannya senang. Kalau duit berguni tapi barang takde pun tak guna jugak. Lagi pun kebanyakan mereka ni, asalnya bergerak secara kecil-kecilan. Mula-mula tukar dashboard aje, pastu pelan-pelan tukar bodypart. Sampai satu tahap, penyakit gatal tangan yang dihidapi gagal untuk dibendung.
Azmi antara penggiat Wira kombet yang aktif. Dari sebuah model high spec C99, ia telah ditingkatkan menjadi sebuah Lancer EVO III yang hampir lengkap. Semua benda ada, bermula dengan kit badan depan, sisi, cermin serta sunroof. Sampai satu tahap, perubahan yang dibuat turut melibatkan salinan sepenuhnya bahagian bontot belakang. Patut kontot, dah tak tau nak buat apa katanya. Memang kering sungguh!
Nilai estetika ditambah dengan penggunaan rim 5 lubang Volk Racing CE28 berukuran 17-inci, saiz paling besar yang sesuai digunakan oleh kereta ini. Tayar pilihan pun bukan calang-calang, jenis Toyo Proxes R888 dari saiz 235/45R-17 yang boleh dilumbakan terus tanpa segan silu. Memastikan tahap pengendalian terbaik, sistem gantungan dibantu set suspensi boleh laras dari JIC.
Bahagian dalam juga datang dengan pakej yang sama. Takde satu pun tinggal selepas kesemuanya disalin menggunakan komponen milik EVO III. Sebagai bantuan pemanduan, disediakan juga stereng Momo EVO IV, tombol gear RalliArt, Defi 4 beradik serta unit RSM Apexi.
Walaupun datang dengan enjin DOHC 4G93, takkan puas rasanya kalau enjin asal EVO tak diguna sama. Lepas puas mengorek tabung ayamnya, Azmi berjaya mengeluarkan modal untuk mendapatkan enjin 4G63T dari casis EVOII RS.
Proses pengukuhan enjin ini sememangnya perlu, untuk meningkatkan lagi ketahanannya. Ia dimulakan dengan penempatan set piston CP, conrod Manley serta galas enjin King Bearing. Bahagian kepala silinder kemudian diberi kerja-kerja port & polish, termasuk penggunaan set camshaft BC berdurasi 272°.
Suapan udara datang dari penapis K&N terus ke mulut turbo Garrett T3 A/R.50. Ia digantung pada manifold turbo Tonnka yang turut memegang wastegate Tial 38mm. Proses sejukan dibantu intercooler Apexi, termasuk binaan paip sambungan kustom. Tekanan boost dikawal unit EBC-R dari M7, manakala boost berlebihan dilepas keluar menerusi injap pelepas GReddy Type R.
Keperluan bahan api dihantar oleh pam petrol Walbro, terus ke set injektor Sard 800cc. Ia dikawal menggunakan unit regulator Arospeed, sambil kuasa letusan dibantu kabel pencucuh Ultra. Bagi melaras kembali peningkatan yang telah dibuat, keseluruhan sistem enjin kini ditala menggunakan Link G4 jenis plug-in. Pahamlah sekarang kenapa unit airflow tu, masih ada ditempatnya.
Sistem transmisi menerima kotak gear manual EVO III dengan set klac loceng OS Giken Super Single. Satu-satunya komponen yang masih belum dimasukkan Azmi adalah, sistem pacuan empat roda EVO. Orang tua pesan jangan tegur. Kalau tegur banyak kali, pasti jadi…!
SPESIFIKASI
- Nama – Azmi Hisyam
- Pengeluar – Proton
- Model – Wira C99
- Tahun – 1995
- Enjin Asal – 4G93 DOHC
- Modifikasi Enjin – 4G63T EVOII RS, piston CP, conrod Manley, galas enjin King Bearing, port & polish, camshaft BC 272°, cam pulley HKS, penapis K&N, turbo Garrett T3 A/R.50, manifold turbo Tonnka, wastegate Tial 38mm, intercooler Apexi, paip intercooler kustom, pengawal boost EBC-R M7, injap pelepas GReddy Type R, pam petrol Walbro, injektor Sard 800cc, regulator Arospeed, kabel pencucuh Ultra, Link G4 plug-in
- Transmisi – Kotak gear manual EVO III, set klac OS Giken Super Single
- Ekzos – Paip ekzos kustom, muffler HKS Hi-Power
- Luaran – Kit badan lengkap EVO III
- Suspensi – Suspensi boleh laras JIC
- Brek – EVO III
- Rim & Tayar – Volk Racing CE28 17-inci & Toyo Proxes R888 235/45R-17
- Dalaman – Salinan komponen EVO III, stereng Momo EVO IV, tombol gear RalliArt, meter Defi, RSM Apexi
- Bengkel – Dut Garage, Senawang