Di negara yang serba-serbi mahal macam kita kat sini, menjadi pelumba profesional sepenuh masa merupakan perkara yang hampir mustahil untuk direalisasikan. Takdenya pasukan yang mampu menaja kau untuk tujuan ini. Baik apply jadi retis, confirm boleh kaya sekelip mata.
Kerana itu, pelumba kereta profesional seperti Alex Yoong, perlu menyertai siri perlumbaan di luar negara. Bakatnya yang masih menyerlah, memberi keyakinan kepada pasukan Audi TEDA untuk meletakkannya sebagai pelumba utama dalam siri perlumbaan Audi R8 LMS Cup. Bukan biasa-biasa boh, dah masuk tahun ketiga beliau bergelar juara keseluruhan. Kalau masih selesa di sini, beliau mungkin menjadi petani moden dan hanya beraksi di perlumbaan hujung minggu ajer. Itu pun kalau ada lah..!
Jadi apa yang orang macam Iman boleh buat? Race tetap race, tapi lebih kepada minat dan hobi. Walaupun jenis race-rosak-repair sampai ke sudah, beliau tetap aktif ke sana-sini mencari timing. Menang adalah bonus. Tapi kena dia buat hal, memang makan kicap ler bulan tuh…
Kereta ini kelihatan segak dengan kit badan Satria GTi, salah satu rekaan paling senonoh pernah dihasilkan oleh Proton. Memandangkan ia beraksi dalam kategori True Street, tak banyak komponen yang boleh Iman tanggalkan tanpa sebab. Kang kena protes pulak. Sampaikan bumbung dengan sunroof berat tu pun masih dikekalkan.
Faktor keselesaan bukan lagi keutamaan, lepas digantung dengan set suspensi boleh laras dari Cusco. Menambah seri luaran adalah rim femes Volk Racing TE37 dengan setup tayar yang berbeza. Depan pakai Toyo R888 bersaiz 225/45R-16, manakala belakang memadai dengan tayar Yokohama A-Drive setebal 205/55R-16. Memastikan ia mampu berhenti pada waktunya, sistem brek depan disalin menggunakan komponen dari FTO.
Masuk cerita enjin. Apa lagi yang sesuai digasak kalau bukan 4G63T dari EVO III. Sejak sekian lamanya, enjin ini cukup digemari peminat modifikasi kerana keupayaannya menerima asakan yang serius. Untuk menguatkan lagi perolehan kuasanya, bahagian bawah diisi set piston bajet dari enjin 2JZ beserta conrod dari Brian Crower. Sementara ruang atas pulak diberi camshaft Brian Crower 280° termasuk sepasang cam pulley boleh laras Arospeed.
Perolehan kuasa ini turut dibantu setup yang sesuai pada sistem pendesak. Apa lagi yang lebih menghiburkan kalau bukan turbo Garrett GT35. Ia disangkut pada manifold kustom ADM Speed, beserta wastegate dari Precision. Sebaik disejukkan oleh intercooler kustom bersaiz gabak, ia dibawa ke mulut throttle body Super90, sambil lebihan tekanan dilepas keluar menerusi injap pelapas Tial. Memastikan perjalanan ini tak sumbang macam suara Auntie Fazura, ia ditala sepenuhnya menggunakan unit EMS Haltech Sport 1000.
Bagi peminat sukan drag, ratio kotak gear memainkan peranan penting dalam usaha meninggalkan pihak lawan pada jarak yang selesa. Menurut Iman, dia masih menggunakan kotak gear EVOIII, yang dikacuk bersama final drive 4G93 GSR serta set klac plet berkembar dari Quarter Master. Penggunaan tangki minyak 4WD membolehkan laluan ekzos perangnya dibuat lebih lurus.
Walaupun digunakan untuk mengejar lampu krismas, bahagian dalam taklah rentung macam kereta resing sebenar. Nak bawak pegi Sogo pun boleh, itu pun kalau sanggup kena seranah ngan orang rumah. Seperti luar, bahagian dalam juga disalin dengan perkakasan milik GTi. Paling jelas, kedudukan papan pemukanya yang datang dengan meter dan trim silver pokodot.
Mengepung Iman ketika memandu adalah, tempat duduk bucket karbon dari Pro Max. Tempat duduk sebelah pun tak kalah, lepas dihuni Recaro EVO VI yang hensem. Lain-lain komponen yang digunakan termasuklah, stereng deep dish OMP, meter boost Apexi, deretan meter tambahan Defi serta tombol gear RalliArt.
Usaha Iman nampaknya membuahkan hasil apabila merangkul pelbagai kemenangan dalam siri perlumbaan drag yang disertainya. Kalau tak silap, beliau telah meraih tempat ketiga dalam kategori FWD Turbo TS di perlumbaan Perak Silver Youth GiM Drag Vol II yang berlangsung di Kuala Kangsar baru-baru ini. Tahniah, tahun depan bikin laju lagi..!
SPESIFIKASI
- Pemilik – Iman
- Pengeluar – Proton
- Model – Satria 1.6
- Tahun – 1996
- Engin Asal – 4G92 SOHC
- Modifikasi Enjin – 4G63T EVO III, piston 2JZ, conrod Brian Crower, camshaft Brian Crower 280°, cam pulley boleh laras Arospeed, turbo Garrett GT35, manifold turbo kustom ADM Speed, wastegate Precision, intercooler & paip sambungan kustom, throttle body Super90, injap pelapas Tial, pam petrol Walbro, regulator Works Engineering, kabel pencucuh NGK R09, Haltech Sport 1000
- Transmisi – Kotak gear EVOIII, final drive 4G93 GSR, klac plet berkembar Quarter Master
- Ekzos – Paip kustom 3.5-inci
- Luaran – Kit badan Satria GTi, sunroof MMC
- Suspensi – Cusco
- Brek – Mitsubishi FTO
- Rim & Tayar – Volk Racing TE37 & Toyo R888 225/45R-16 (depan), Yokohama A-Drive 205/55R-16 (belakang)
- Dalaman – Salinan komponan Satria GTi, tempat duduk bucket Pro Max &Recaro EVO VI, stereng OMP, meter boost Apexi, & Defi, tombol gear RalliArt
- Bengkel – Nur Speed Performance (Inong)