Mercedes-Benz Malaysia kini memperkenalkan Mercedes-AMG CLE 53 4MATIC+ Coupé Limited Edition yang tampil dengan karakter lebih garang serta eksklusif bagi barisan model coupé berprestasi tinggi mereka. Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) Mercedes-Benz Cars Malaysia, Kevin Barbian, edisi terhad ini dihasilkan khusus buat peminat yang gemarkan keseronokan memandu dan mahukan identiti tersendiri terpancar pada setiap perincian jentera.
Di sebalik bonetnya tersimpan enjin 3.0-liter (2,999 cc) 6-silinder sebaris dengan sistem pengecasan berkembar yang telah ditala semula secara menyeluruh. Enjin ini menghasilkan kuasa 330 kW (449 hp) pada 5,800 rpm dan tork maksimum 560 Nm (dengan lonjakan sementara sehingga 600 Nm menerusi fungsi overboost), selain turut dibantu motor elektrik berkuasa 17 kW dan tork 205 Nm.
Kesemua kuasa disalurkan ke sistem pacuan semua roda boleh ubah AMG Performance 4MATIC+ melalui transmisi AMG SPEEDSHIFT TCT 9G, membolehkan pecutan 0 hingga 100 km/j dicapai dalam masa 4.2 saat dengan kelajuan maksimum 270 km/j. Aspek pengendalian pula diperkukuh menerusi Pakej AMG DYNAMIC PLUS, Pakej Pemandu AMG (AMG Driver’s Package), sistem suspensi AMG RIDE CONTROL, serta stereng gandar belakang (rear-axle steering) sehingga 2.5 darjah.
Dari sudut luaran, edisi terhad ini tampil menonjol menerusi kemasan cat matte MANUFAKTUR graphite grey magno yang dipadankan dengan pelekat grafik (film-wrapped) memaparkan logo besar AMG berserta perincian kuning. Jentera ini turut dilengkapi rim forged 20-inci rekaan jejari bersilang (cross-spoke) eksklusif dengan bibir rim kuning, sekali gus menyerlahkan angkup brek kelabu di belakangnya. Kemasan luaran ini dilengkapkan lagi dengan penutup tangki bahan api berwarna krom perak yang tertera perkataan “AMG” bersama elemen hitam.

Menjengah ke ruang kabin, suasana berprestasi tinggi diserlahkan melalui Pakej Tempat Duduk Berprestasi Tinggi AMG yang dibaluti kulit Nappa hitam bersama jahitan kontras kuning serta tali pinggang keledar kuning yang sepadan. Ia turut dilengkapi trim gentian karbon AMG dan stereng AMG Performance dalam kemasan gentian karbon serta mikrofiber MICROCUT.
Perincian eksklusif lain termasuklah panel ambang pintu (door-sill) bercahaya kuning dengan penutup boleh tukar, selain alas kaki khusus yang mempunyai lencana serta jahitan kuning AMG. Bagi melindungi badan kereta daripada habuk dan calar ketika disimpan di dalam garaj, setiap unit turut disertakan penutup kereta dalaman (indoor car cover) khusus AMG yang diperbuat daripada fabrik gentian sintetik kalis koyak di bahagian luar serta lapisan flanel anti-statik di bahagian dalam.

Bagi pasaran tempatan, Mercedes-AMG CLE 53 4MATIC+ Coupé Limited Edition ditawarkan pada harga jualan RM 836,888 di Semenanjung Malaysia dan RM 374,590 di Langkawi. Pembeli juga boleh memilih pelan pembiayaan Agility+ oleh Mercedes-Benz dengan ansuran bulanan bermula daripada RM 8,888.
Pelan ini turut merangkumi jaminan lanjutan terhad tahun kelima Star Gold, empat Pakej Servis Kompak, jaminan nilai masa hadapan kenderaan, serta program MobilityPlus yang menyediakan kereta gantian sementara sekiranya kenderaan dihantar untuk servis atau pembaikan jaminan selama 48 jam atau lebih.

Pelancaran edisi terhad ini turut menjadi sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-140 Mercedes-Benz bertemakan “140 Tahun Inovasi” (140 Years of Innovation), yang meraikan perjalanan inovasi syarikat sejak Carl Benz memfailkan paten kenderaan pertama pada tahun 1886. Sempena sambutan bersejarah tersebut, Mercedes-Benz juga menganjurkan kembara merentas benua menggunakan tiga unit saloon S-Class baharu ke 140 lokasi di enam benua sehingga bulan Oktober.
Untuk maklumat lanjut mengenai edisi terhad ini serta pelan pembiayaan yang ditawarkan, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Mercedes-Benz Malaysia atau berkunjung ke mana-mana pusat pengedar Mercedes-Benz Autohaus berhampiran.
















