Selepas dipertontonkan sebagai unit pra-pengeluaran di Penang AutoShow 2026, versi produksi rasmi JETOUR T1 kini membuat penampilan umum sulungnya di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026. Menjelang pelancaran rasminya di Malaysia, model ini turut tersedia untuk sesi pandu uji di KLIMS 2026 serta di bilik pameran JETOUR yang sah di seluruh negara bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia merasai sendiri pengalaman memandunya.

SUV ini ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5L TGDi 2WD dan 2.0L TGDi XWD, dengan anggaran harga masing-masing bermula daripada RM143,800 dan RM153,800. Bagi pasaran tempatan, JETOUR T1 disediakan dalam empat pilihan warna luaran yang menarik iaitu Khaki White, Aviation Silver, Sand Gold, dan Carbon Black.
Dari segi rangkaian kuasa, varian T1 1.5L TDGi 2WD dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo direct injection yang dipadankan dengan transmisi dwi-klac 7-kelajuan untuk pemanduan yang lancar serta responsif. Sementara itu, varian 2.0L TDGi XWD pula dilengkapi enjin 2.0 liter turbo direct injection yang lebih berkuasa bersama sistem 7+X mod pemanduan untuk keupayaan adaptasi yang lebih baik.

Pengunjung ke pameran juga berpeluang melihat perbezaan ruang kabin antara kedua-dua varian tersebut secara dekat. Varian 1.5L TGDi 2WD menawarkan ruang dalaman praktikal yang lengkap dengan tempat duduk kulit sintetik, tempat duduk pemandu laras kuasa, paparan multimedia 12.8 inci, sistem audio 8 pembesar suara, serta pencahayaan ambien jenis monokrom.
Bagi mereka yang mengutamakan pengalaman yang lebih premium, varian 2.0L TGDi XWD hadir dengan spesifikasi yang lebih tinggi. Ia dilengkapi paparan multimedia 15.6 inci yang lebih besar, sistem audio premium SONY 9 pembesar suara, pencahayaan ambien 64 warna, kerusi pemandu dengan memori, kerusi penumpang hadapan laras kuasa, serta bumbung suria (sunroof) panoramik.

Bukan itu sahaja, JETOUR T1 turut mementingkan aspek keselamatan apabila berjaya memperoleh penarafan 5-Bintang ASEAN NCAP di bawah protokol penilaian 2021–2025. Selain T1, ruang pameran JETOUR di KLIMS 2026 turut menampilkan pameran eksklusif model G700 bersama barisan SUV mereka yang lain seperti VT9, Dashing, T2, dan T2 i-DM, manakala maklumat lanjut boleh dilayari menerusi laman web rasmi mereka.























