Juru Auto City kembali meriah apabila terpilih sebagai tuan rumah pusingan pertama Gymkhana KBS 2025 yang berlangsung selama dua hari berturut-turut pada 20 dan 21 September lalu. Lokasi popular dengan aktiviti permotoran ini sekali lagi menjadi pusat perhatian selepas kejayaan perlumbaan Gymkhana Challenge yang diadakan di UiTM Shah Alam sebelum ini.
Gymkhana bukan sekadar perlumbaan biasa. Ia adalah seni mengawal kereta di litar yang dipenuhi kon, selekoh tajam dan halangan teknikal. Di sinilah pemandu diuji, bukan sahaja dari segi kelajuan tetapi juga kecekapan dalam kawalan, ketepatan dan disiplin.
Tahun ini, tujuh kategori perlumbaan dipertandingkan. Antaranya One Make Race, Ladies One Make Race, Open, FWD Pro, RWD Pro, FWD Advance dan RWD Advance. Setiap kategori memberi peluang pelumba dengan latar belakang berbeza untuk membuktikan kecekapan dan gaya pemanduan masing-masing.
Antara yang paling mencuri perhatian sudah tentu kategori Ladies One Make Race. Kehadiran kategori khas ini membuktikan dunia permotoran semakin inklusif, dengan ruang lebih luas untuk pelumba wanita menonjolkan bakat serta keberanian mereka di litar.
Suasana di Juru Auto City sepanjang dua hari perlumbaan berlangsung cukup meriah. Setiap kategori dipenuhi aksi mendebarkan dengan sorakan penonton yang membanjiri kawasan acara, sekali gus mengukuhkan kedudukan Gymkhana sebagai antara perlumbaan yang mendapat tempat dalam kalangan peminat permotoran di Malaysia.
Acara ini dianjurkan dengan sokongan JBSN, Estrada Motorsport, Pulsar Motorsport dan Auto City, serta disahkan oleh Malaysia Motorsports. Dengan kerjasama kukuh pelbagai pihak, penganjuran Gymkhana KBS 2025 berjaya direalisasikan dengan lebih teratur dan berkesan.
Secara keseluruhannya, Pusingan Pertama Gymkhana KBS 2025 di Juru Auto City berjaya meninggalkan impak positif buat pemandu mahupun penonton. Dengan gabungan cabaran teknikal, penyertaan pelbagai kategori termasuk pelumba wanita, serta sokongan padu penganjur, sekali gus mengukuhkan kedudukan Gymkhana sebagai platform yang melahirkan bakat baharu serta meraikan kepelbagaian dalam dunia permotoran tempatan.