IAM Kuala Lumpur 2025 kembali dengan penuh gaya, kali ini bertempat di Setia Alam Convention Centre pada 16–17 Ogos 2025. Lokasi baharu ini dianggap lebih baik berbanding tahun sebelumnya kerana ruangnya yang lebih luas dan selesa untuk menampung ribuan pengunjung serta barisan kereta modifikasi yang segar. Dari kereta harian yang diubahsuai hingga jentera yang jarang kelihatan di jalan raya, setiap sudut pameran dipenuhi dengan cerita, identiti dan kreativiti pemiliknya.
Seperti biasa, acara ini bukan sekadar tentang pameran kereta semata-mata. DynoKyng Competition, sesi Tax Ride Drift, dan pelbagai aktiviti ‘indoor’ menambah variasi serta memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai sendiri adrenalin dunia automotif. Asap tayar, bunyi enjin yang meraung dan aksi drift menjadikan IAM KL 2025 sebuah pesta penuh kelajuan dan gaya hidup.
Tarikan utama sudah tentunya barisan kereta modifikasi yang mencuri perhatian. Sebuah Toyota Supra dengan gaya “style meets boost” tampil garang, seolah-olah bersedia membunuh pesaing di pentas showcar. Mitsubishi Evo widebody dengan kemasan karbon dan rim emas pula menyerlahkan karakter tanpa kompromi, manakala edisi “Evo + Marlboro” mengembalikan nostalgia era perlumbaan sebenar. Tidak ketinggalan, sebuah RWB Porsche hasil sentuhan Akira Nakai menjadi tumpuan ramai dengan fender lebar, rivet terdedah dan sayap belakang besar yang ikonik.
Budaya stance turut diraikan dengan kehadiran “Blue Beast” berinspirasikan Tokyo hingga barisan kereta keluarga yang dibawa khas ke acara ini, jelas IAM KL 2025 menjadi medan di mana semua lapisan peminat automotif boleh bersatu sama ada hardcore tuner, street stance lover ataupun pengunjung santai yang datang bersama keluarga.
Lebih menarik, acara kali ini turut disertai pelbagai jenama dan komuniti. Team Nurrmotors tampil dengan jersi rasmi kompetisi edisi merah jambu, MFI Autohaus dan OPM Lite pula membawa kelainan melalui booth masing-masing. XG Coating mencuri perhatian dengan promosi kilat bermula RM7, manakala IGL Coating menerima kunjungan istimewa daripada Yang Mulia Tengku Shamsulbhari Alhaj Ibni Yang Amat Mulia Tengku Azman Shah Al Haj S.M.K, J.P. Semua ini menambah warna kepada suasana pameran.
Bagi peserta, pengalaman IAM KL 2025 adalah satu perjalanan penuh emosi. Ada yang mengakui kepenatan dengan sesi penggambaran di bawah terik matahari, namun kepuasan berada di pentas besar ini tiada tandingan. Ini bukan sekadar kereta, tetapi tentang orang, minat dan budaya yang dibina bersama.
Acara ini juga tidak lupa memberi ganjaran kepada pengunjung. Selain aksi dyno secara live di hadapan khalayak ramai yang membuatkan arena bergegar, IAM KL 2025 turut menawarkan cabutan bertuah utama, sebuah Honda Prelude bagi mereka yang hadir atau membeli merchandise rasmi IAM. Tarikan sebegini bukan sahaja menambah semangat, malah menjadikan IAM lebih dekat dengan pengunjungnya.
Secara keseluruhan, IAM Kuala Lumpur 2025 membuktikan mengapa ia kekal sebagai salah satu acara modifikasi terbesar dan paling berpengaruh di Malaysia. Dari carbon fibre & aero wizardry, kereta stance hingga hypercar eksotik, setiap sudut memberikan pengalaman berbeza kepada setiap pengunjung. Dengan kombinasi minat dan budaya automotif yang terus berkembang, IAM KL sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai nadi komuniti kereta tempatan dan antarabangsa.