Bertone, coachbuilder lagenda Itali bertanggungjawab dalam membentuk pelbagai supercar terkemuka dunia dan kini, membina sebuah untuk meraikan kelahiran ‘semulanya’ dan ulang tahun yang ke-110. Diberi nama GB110, kereta dua tempat duduk ini merupakan tanda penghargaan model kereta lain Bertone yang lampau seperti BAT pada era 1950an, Carbo pada lewat 1960an yang menjadi inspirasi Lamborghini Countach dan juga Stratos Zero. Menurut Bertone, sebanyak 33 unit akan dibina tetapi masih berahsia tentang kos dan beberapa maklumat lain.
Selain pintu rama-rama, AWD dan juga transmisi 7-kelajuan, masih belum ada maklumat lain yang jelas. Menurut Bertone lagi, enjin pembakaran membangunkan 1,085hp dan tork 811 lb-ft (1,100Nm) yang dibangunkan untuk beroperasi dengan minyak sintetik diperbuat daripada bahan plastik buangan. Wah!
GB110 dikatakan mampu memecut dari kosong sehingga 62mph (100 km/j) dalam masa 2.79 saat, dari kosong hingga 124mph (200km/j) dalam masa 6.79 saat dan mampu mencecah 186mph (300 km/j) dalam masa 14 saat menjadikan ia sedikit perlahan berbanding Bugatti Chiron. Bertone memberikan kelajuan tertinggi lebih 236mph (380 km/j).
Namun begitu, tiada sebarang informasi lain yang dikongsikan termasuk saiz enjin dan jumlah silinder, malah dua beradik yang terlibat dalam projek ini enggan mengulas tentang dari mana casis ini disumbangkan. Satu perkara sahaja yang dinyatakan, ia berasaskan komponen-komponen pengeluar dari Jerman. Wheelbase hanya sepanjang 2,630mm iaitu lebih pendek berbanding Lamborghini Huracan dan casis pula dilengkapi dengan suspensi wishbone berganda, spring koil dan juga peredam boleh ubah 4-hala. Roda hadapan sebesar 21-inci tetapi di bahagian belakang pula 22-inci yang dibaluti tayar 335/25.
Walaupun komponennya berasal dari Jerman, Pengurus Projek Dan Rekaan Bertone iaitu Giovanni Sapio mengatakan GB110 ini merupakan kereta Itali. Ia mempunyai gaya Itali, dan dibangunkan untuk membangkitkan minat para pencinta sportcar. Dalam masa yang sama, ia dibina untuk kegunaan harian. Praktikal, selesa dan mudah dikendalikan.