Mungkin Toyota tidak begitu menarik perhatian para peminat kereta sepertimana jenama-jenama yang datang dari Jerman tetapi tidak boleh dinafikan, barisan kereta keluarannya menjadi semakin mengujakan.
Apatah lagi bila GR Yaris yang dikatakan sebagai hatchback paling hangat pernah dihasilkan. Manakala Supra pula dikritik kerana ada iras BMW. Diikuti pula dengan GR 86 yang baharu sahaja dikeluarkan dan GR Corolla bakal menyusul. Kini, kereta sport elektrik sudah pun didedahkan?
Bukan setakat itu sahaja, pengeluar dari Jepun ini merancang untuk sesuatu yang baharu dan agak misteri. Bakal muncul di Tokyo Auto Salon 2022 yang dijadualkan berlangsung pada penghujung bulan ini ialah GR GT3. Menurut Toyota, ia merupakan sebuah kereta konsep yang didedikasikan untuk perlumbaan yang menggabungkan pengetahuan dan teknologi TGR yang diperolehi dari bidang sukan permotoran.
Adakah ia sebuah jentera yang hanya dibina untuk litar? Namun, ia tidak pula dilihat seperti ada kaitan dengan Supra mahupun 86. Hood yang panjang mengingatkan kita terhadap Mercedes-AMG GT Coupe. Ada juga beberapa ciri lain seperti fender hadapan 911 GT3 RS-esque dan wing bahagian belakang yang agak besar.
Dalam teaser yang dikeluarkan memaparkan GR Yaris yang ditala sepenuhnya, yang mungkin atau tidak ada kaitan dengan supermini hardcore yang pernah dirakamkan sedang melakukan ujian di Nürburgring pada tahun 2021. Ia mungkin juga bakal memaparkan potensi GRMN versi AWD untuk sebuah hatchback.
Bagi mengetahui apa sebenarnya pelan Toyota, kita harus tunggu sehingga Tokyo Auto Salon 2022 berlangsung pada 14 Januari sehingga 16 Januari ini.
Sumber : Motor1