Walaupun sejak dulu lagi Proton Wira ni jadi model popular untuk dimodifikasi rakyat Malaysia, belum pernah lagi dengar isu naik harga ke ape. Itu salah satu sebab yang membuatkan Wira sentiasa menjadi trend untuk dijadikan sebuah jentera yang lebih berprestasi. Ini merupakan sesuatu yang bagus bagi mereka yang mempunyai hobi untuk menghasilkan karya yang tidak memerlukan belanja yang besar.
Kadang-kadang, agak tersasar jika kita mengatakan ianya tidak memerlukan belanja yang besar tetapi maklum sajalah, nafsu mereka ni semuanya besar-besar belaka. Komponen prestasi dan aftermarket yang digunakan kebanyakannya sudah melebihi harga sesebuah kereta itu. Apakan daya, itulah lumrah bagi seorang yang berjiwa kereta.
Kalau tak silap, kereta ni si Shah Bahulu shoot di kalangan geng-geng Wira MDM Terengganu. Ramai geng-geng diorang ni. Nama je MDM tapi enjin semua dah kena sumpah!
Proton Wira ini dipasangkan dengan nadi 4G63T yang semestinya bukanlah stok kilang Mitsubishi lagi dah. Kebanyakan komponen enjin telah digantikan dengan barangan aftermarket antaranya intercooler GReddy, blow-off Tial 38mm, throttle body Super90, pelaras bahan api Works serta power belt.
Di bahagian kepala silindernya pula telah dipadankan dengan aci sesondol HKS 264’ di dalamnya. Kuasa dari bahagian enjin disampaikan terus ke bahagian roda melalui kotak gear Evo 3 yang dilengkapi bersama klac berprestasi OS Giken twin plate.
Untuk kawalan lebih baik semasa sesi pemanduan serta pelarasan kedudukan yang lebih stabil, jentera ini dipasang dengan sistem penyerap hentak boleh laras dari HWL. Sistem breknya pula diambil dari Brembo Evo 6 bagi bahagian depan dan belakang bagi cengkaman lebih bertenaga semasa memberhentikan jentera ini.
Untuk dalaman, jentera ini kelihatan telah menggunakan papan pemuka milik Mitsubishi Evo 4 serta dipadankan pula dengan meter paparan dari Evo 7. Di atasnya pula dipasangkan dengan meter Defi 4 beradik, Apexi RSM Black, SAFC2 dan juga GReddy Profec B spec 2. Tambah lebih menarik, jentera ini turut dipasangkan dengan stereng serta tempat duduk TME depan dan belakang. Fuhhh… Berpeluh dahi tengok! Perehat kaki, karpet dan juga tombol gearnya pula dari Ralliart.
Personaliti luaran jentera ini pula masih lagi dikekalkan dengan rupa Wira yang sebenar, cuma ditukarkan hood depan Evo 3, lampu Denji KS, cermin sisi Ganador, sunroof, cermin belakang GSR serta lampu kabus milik wira UK Spec. Rim Volk Racing TE37 berukuran 17 inci dibaluti tayar Bridgestone Potenza RE003 memastikan jentera ini tampak lebih kacak dari biasa. Tapi yang tambah unik lagi bilamana nama pemilik jentera ini adalah Pencinta Wira!
Spesifikasi
Kereta : Proton Wira
Modifikasi Enjin : 4G63T, intercooler GReddy, piping stainless steel, blow-off Tial, Wastegate Tial 38mm, Turbo 22g, coil plug K20, highcam HKS 264, Power Belt, throttle body S90, injector 560cc, fuel rail Duratech, fuel regulator Works, ekzos piping stainless steel, muffler Hayabusa
Transmisi / Gearbox : Gearbox Evo 3, klac OS Giken twin plate
Elektronik / ECU : Standard
Suspensi & Cesi : Adjustable HWL
Brek : Brembo Evo 6
Roda & Tayar : Rim Volk Racing TE37, tayar Bridgestone Potenza RE003 17”
Dalaman : Dashboard Evo 4, meter Evo 7, seat TME (depan & belakang), stereng TME, knee rest Ralliart, carpet kaki Ralliart, knob gear Ralliart, Defi 4 beradik, Apexi RSM black, Apexi SAFC2, GReddy Profec B spec 2, arm rest telor CK, burger tray, doortrim cover Recaro, button Cusco merah, Speaker Carrozzerria
Luaran : Hood Evo 3, lampu Denji KS, cover head lamp Proton, Ganador carbon look CE9A, side skrit GSR, door visor pendek Mitsubishi, cermin wiper GSR, fog lamp UK Spec, Sunroof Mitsubishi
Bengkel & Tuner : Jan Auto Garage
Owner : Pencinta Wira