Sebagaimana yang diketahui, model Z adalah khazanah sangat penting untuk Nissan. Bermula dari keluaran yang pertama sehinggalah yang terbaharu. Namun keberterusan plat namanya sudah mula menjadi persoalan walaupun model terbaharunya dilancarkan bulan ini.
Menurut ketua pegawai operasi, Ashwani Gupta, tiada sebarang kemungkinan bahawa ia akan dihentikan malah model generasi Z terbaharu akan dikeluarkan selagi ada permintaan dan ia sesuatu yang sudah dijangka. Semasa pelancaran Nissan Z 2023, Gupta turut mengatakan bahawa model Z bukan satu model yang ringkas dan sudah menjadi budaya syarikat. Namun, sekiranya tiada lagi pembeli yang mahukan model Z di pasaran, Nissan tidak akan menyambung pengeluarannya.
Sepertimana pengeluar kereta yang lain, Nissan turut berhadapan dengan masalah tersendiri. Ia juga bukan satu rahsia di mana ia sedang berjuang demi menstabilkan dan merancakkan strategi perniagaan. Masa hadapan model Z ini bergantung kepada penerimaan dalam beberapa tahun yang akan datang.
Selain itu, ia juga bergantung kepada kenderaan elektrik yang sedang kian berkembang. Nissan juga telah menetapkan sasarannya untuk menjual EV sebanyak 40% di pasaran Amerika Syarikat menjelang tahun 2030.
Sumber : Motor1