Kelab Peminat Kereta Mini Malaysia (KPKMM) menganjurkan Perlumbaan Berteknikal Mini 1 Malaysia yang bertempat di Melaka International Motorsport Circuit (MIMC), Air Keroh. Ia merupakan kesinambungan kepada dua perlumbaan yang berlangsung sebelum ini, bagi merebut Piala Dato’ Haji IR Muhamad Bin Dalib, Pengarah JPJ Malaysia (Bahagian Kejuruteraan Automotif), yang juga merupakan penasihat teknikal rasmi kepada KPKMM.
Objektif penganjuran bertujuan untuk memberi panduan kepada para peserta, tentang teknik pengendalian dan pemanduan yang betul. Hal ini akan meningkatkan kualiti pemanduan, sekaligus mengurangkan kadar kemalangan. Selain itu, acara permotoran ini juga dapat menggalakkan industri pelancongan negeri dengan membawa masuk para peserta dan penonton dari luar dan dalam negara.
Sebanyak 60 buah kereta telah mengambil bahagian dalam perlumbaan kali ini, termasuk dua orang pelumba dari Thailand. Ia dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu Klasik Standard, Klasik Semi Ubahsuai, Klasik Ubahsuai dan Mini BMW. Perlumbaan ini juga disertai pasukan KA Racing Team dari JPJ Malaysia, yang menerima latihan daripada Dato’ Haji IR Muhamad Bin Dalib sendiri.
Terima kasih diucapkan kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Melaka (MOTAC) selaku badan penaja, serta Jabatan Pengangkutan Jalan, Kementerian Pelancongan Malaysia dan Kerajaan Negeri Melaka atas sokongan yang diberikan. Tidak lupa juga kepada SKS Bus, Mazda, Solid Billion Sdn Bhd (PSB Lubricants), Firama, Lima Bintang, TMS Bus, Green Machine, Classics Wheel Mini Heritage, Green Aim Sdn Bhd dan Mono Auto Services selaku penaja bersama.