Honda Integra Type R generasi-DC2 bukan sahaja menjadi salah sebuah kereta terbaik yang pernah dibina oleh pengeluar dari Jepun itu, malah ia sering dikatakan sebagai sebuah kereta sport tayar depan paling cemerlang. Baru-baru ini, seorang pereka automotif, Jordan Rubinstein-Towler telah membayangkan serta melakarkan sekiranya ia kembali dihidupkan semula pada zaman moden ini.
Sejak kebelakangan ini, ramai pula pereka automotif yang berkongsi rekaan mereka di media sosial dan ada antaranya disukai para peminat kereta itu sendiri. Kalau dilihat kepada gambar-gambar yang dikongsikan beliau di Instagram, Honda Integra Type R idamannya mempunyai bahagian yang sama dengan asal tetapi mempunyai ciri-ciri panel yang baharu, sekaligus menjadikan ia sebuah kereta bernafas baharu tetapi berkongsi sedikit persamaan dengan model terdahulu.
Sebagai contoh, lampu hadapan Integra Type R adalah lebih nipis, menyerupai model-model DC2 spesifikasi Jepun. Namun, versi Jordan pula menggunakan lampu utama yang diperbuat dari LED. Selain itu, jarak yang luas di antara gril dan salur pengambilan udara di bahagian lencana merah Honda, sama seperti asal.
Garis-garis yang direka cukup cantik ini diteruskan sehingga ke bahagian sisi, di mana tiada garis-garis atau sudut sebegitu yang dapat ditemui pada kebanyakan kereta moden. Di bahagian belakang pula, Jordan menggunakan konsep lampu LED yang nipis, sayap belakang yang lebar, diffuser dan juga single tailpipe.
Beralih ke bahagian kabin kereta pula agak istimewa kerana mempunyai ciri-ciri rekaan retro dengan stereng tiga jari dan dashboard dua ton warna, merah dan hitam. Bahagian ini tidak akan lengkap dengan kluster instrumen digital dan juga shifter manual.
Integra Type R versi Jodan ini dikuasakan oleh enjin i-VTEC aspirasi natural 2.4 liter 4-silinder yang mampu menghasilkan 276 hp pada 8,600 rpm dan disepadankan dengan transmisi manual 6-kelajuan. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan coilover boleh laras, strut tower bar aluminium depan dan belakang serta atap, hud dan hatch belakang karbon fiber.
Sumber : Carscoops