Civic FD Club Malaysia telah mengadakan program perhimpunan tahunannya, bertempat di padang MPPD Batu 1, Port Dickson. Kira-kira 1,000 orang ahli kelab dari seluruh negara, telah hadir menjayakan program kali ini.
Pelbagai pengisian menarik telah diatur sepanjang program berlangsung. Antaranya pertandingan autoshow melibatkan 36 buah kereta, yang bertanding mengikut kategori tertentu. Dalam pertandingan ini, Saudara Venoth daripada CFDC WPKL telah dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan.
Selain itu, diadakan juga majlis penyampaian sumbangan persekolahan kepada 50 anak yatim sekitar Port Dickson, program penukaran beg udara percuma oleh Honda Malaysia, jualan produk dan aksesori, permainan simulator dan lain-lain. Kehadiran artis tempatan seperti Bandi Amuk, Azad Jazmin, Saiful Apek, Pablo Amirul, Along Eyzendy dan barisan pelakon Last Kopek Havoc, membantu merancakkan lagi program tahun ini.