Apa perkara pertama yang melintas di kepala sebaik sahaja melihat kereta Chevrolet Camaro tahun 1968 ini? Duit yang dibelanjakan untuk mendapatkan hasil sebegini cantik? Berapa lama masa digunakan untuk menyiapkannya atau bila pemiliknya nak let go?
Kereta Camaro ini bukan yang pertama, malah dah banyak yang kita jumpa. Apa yang menarik adalah, setiap satu kereta punya cerita sendiri. Kereta Camaro yang memang nampak seksi berwarna merah ini juga ada kisahnya. Pemiliknya telah menghabiskan masa selama 8 tahun untuk mendapatkan hasil seperti yang kita lihat sekarang. Kosnya pula, bukan sikit tapi berpadanan dengan hasil yang diperolehinya.
Sebagaimana pesaing terdekatnya Ford Mustang, Camaro masih kekal menjadi pilihan ramai sehingga ke hari ini dengan model-model baru. Namun begitu, ia masih tidak mampu menandingi penampilan dan aura yang dibawakan oleh Camaro generasi pertama. Lazimnya, ramai yang sanggup menghabiskan duit dengan merestorasi dan memodifikasi Camaro lama atau klasik berbanding Camaro generasi baharu.
Kalau dibandingkan dari sudut harga pula, Camaro baharu bermula dari USD25,000 (RM102,962) sehingga USD40,000 (RM164,740) dan ia jauh dengan harga yang ditawarkan untuk kereta klasik yang sudah pun berusia setengah abad ini.
Kereta klasik ini telah menjalani proses restorasi yang panjang. Antara yang menghuni bawah hud Camaro ini adalah block Dart 540, piston JE untuk memastikan enjin terus ‘berkhidmat’ dengan cemerlang, karburator dan pencucuh MSD juga transmisi Tremec TKO 600 dengan klac hidraulik. Kalau dilihat dari sudut visualnya, Camaro ini hampir sempurna.
Disaluti dengan warna merah dan hitam, dipadankan pula dengan rim yang lebih muskular dan penampilan lebih moden. Bahagian interior mengekalkan penampilan sama dengan lebih penekanan terhadap warna hitam. Tidak ketinggalan, sistem bunyi stereo Camaro ini yang kini dilengkapi dengan slot USB.
Berapa harga pembukaan kalau Camaro ini dilelong di Malaysia?
Sumber : Autoevolution