Boost Automotive Sport Club (BASC) kembali menganjurkan Bintulu Auto Carnival pada 15-17 November yang lalu. Berlangsung di Naim Bintulu Paragon, Bintulu Sarawak, hampir 600 peserta telah mengambil bahagian termasuk kumpulan peserta dari Negara Brunei seperti Jacket Koyak Society Brunei, Team Bising KB Brunei, ZSociety Brunei dan Crew Teams of Brunei.
Tidak tertumpu kepada pertandingan autoshow semata-mata, Bintulu Auto Carnival juga menyajikan pelbagai program permotoran yang lain seperti pameran kereta klasik dan berprestasi, pertandingan audio, aksi lasak 4×4 dan motosikal, perhimpunan kelab, serta promosi jualan oleh pengeluar produk automotif. Buat julung kalinya, BASC telah bekerjasama dengan Malaysia Speed Festival (MSF) untuk menganjurkan acara MSF Drift Gonzo dan MSF Autocross di sini.
Sejak dianjurkan pada tahun 2016, Bintulu Auto Carnival bermatlamat untuk menggalakkan perkembangan aktiviti permotoran khususnya di Negeri Sarawak. Secara tidak langsung, ia turut membantu menyatukan kelab-kelab permotoran, untuk bergiat dalam aktiviti lebih sihat dan selamat.