Perkara yang selalu orang tanya, “Kenapa Jepun dah tak nak buat kereta macam Skyline, Supra, RX7 bagai?”
Baiklah tuan-tuan, puan-puan, adik kakak sekalian. Sekarang adalah zaman yang telah berubah 100 peratus. Ini bukan lagi era tahun 1990-an yang arah tuju automotif tentang kebebasan produk dan penetapan pasaran oleh pengeluar.
Kalau pengeluar A buat kereta 50/50 FR, pasti pengeluar B akan ikut bersaing. Kalau pengeluar C buat 4WD sedan, pasti pengeluar D akan cuba bertanding. Begitulah seterusnya.
Dunia hari ini bersangkut paut dengan segala macam undang-undang yang lebih ketat berbanding dahulu. Harga bahan bakar yang meningkat menyebabkan pengeluar beralih kepada teknologi hijau.
Di Eropah misalnya, cukai jalan BUKAN berdasarkan CC kereta, tetapi jumlah CO2 yang dihasilkan. Kereta besar gajah tetapi karbon bawah 100g akan jadi murah berbanding sebuah Viva.
Kaedah ini menyebabkan industri tidak ada pilihan lain, pengguna mulai sedar dan pasaran kereta Skyline, Supra, RX7 tadi semakin kecil. Itu belum tengok pasal beg udara, rating keselamatan pelanggaran dan macam-macam lagi.
Mahu atau tidak, kita kena toleh ke belakang kalau masih nak juga guna kereta seperti ini. Bulan lalu saya ada terjumpa spesis kereta rare iaitu Nissan Skyline R33. Kalau nak dibandingkan dengan Skyline moden (R32-R34), model R33 paling tak popular.
Mungkin sebab reka bentuknya yang nampak biasa-biasa sahaja. Mungkin juga kerana ketika dikeluarkan, ia terpaksa bersaing dengan generasi kedua Evo (4,5,6) atau mungkin juga sebab R34 G-TR yang memang teramat lain itu tapau semuanya. Apa juga kesan dari tahun 90-an ini, R34 menjadi paling mahsyur. R32 G-TR paling orang berebut nak beli dan sudahnya R33 terpinggir.
Tidak ramai orang yang cenderung membeli model ini kecuali Mohd Farhan. Kalau ikut pasaran semasa, R33 GTTS hampir sama pasarannya dengan R34 GTST. Namun, satu perkara yang ramai tak sedar, beza bentuk G-TR bagi kedua-dua model ini yang paling tak ketara ialah R33. Maksudnya, kata kalau tak convert punggung lebar R33 pun nampak masih OK pada pandangan mata kasar saya.
Kereta ini diburu agak lama juga, nak beli bukan boleh main order macam Saga. Cari punya cari akhirnya jumpa sebuah dalam keadaan yang sangat terjaga. Kereta ini datang dengan enjin RB25 yang tak kurang kuasanya.
Cuma yang jadi sembap sikit kerana ia dipadankan dengan kotak gear tiptronik semi auto. R33 GTTS dengan kotak gear manual ialah benda yang paling rare nak jumpa di Malaysia. Sama susahnya macam nak cari R34 GT-R dengan enjin yang tak ditukar penapis udaranya.
Tidak banyak benda yang diusik kerana Farhan ada projek lebih lanjut yang akan saya ceritakan nanti. Tetapi kalau tak usik langsung pasti akan gatal-gatal seluruh badan. Penapis udara diganti dengan K&N, paip-paip intercooler dibuat menggunakan besi tahan karat dan sebuah pam bahan api Walbro dipasang apabila boost dinaikkan kepada 1.3 bar.
Sistem ekzos dilaras semula dengan pemasangan paip depan 2.5 inci sampailah ke punca muffler Trust belakang. Pada masa yang sama, suspensi kereta dinaik taraf kepada jenis boleh laras TEIN Super Street dengan fungsi EDFC.
EDFC memang sangat berguna, kena pula jenis kereta yang mounting absorbernya tersorok bawah tempat duduk atau celah fender. Guna EDFC, senang tekan-tekan…tadaaa…!!! Dah dapat setting yang cun.
Corak pemilihan rim pada kereta macam ini sebenarnya hampir tiada batasan. Anda boleh pasang BBS Mesh dan mendapkan kereta sampai sapu debu jalan atau pasang TE37/CE28 dengan ketinggian asal atau pasang rim moden klasik Work Meister S1R macam ni.
Ketinggian? Tak tinggi. Tak rendah sangat. Asalkan jarak antara tayar dan badan kereta minimum sudah ok. Kasi kangkang sikit dan pasang tayar lebar belakang 265/40-18, depan 235/40-18 GT Radial. Setel. Terus rupa kereta berubah 180 darjah lagi.
Rim potongan S1R dan SSR SP1R sebenarnya ada peminat khusus yang sanggup bayar pada harga premium. Paling best kalau jumpa di kedai potong yang Cuma tahu TE37. Tekan hargalah apa lagi. Bawa balik, masuk mudah, harga boleh jai enam kali ganda.
Bahagian dalaman tidak berubah rupa sangat dengan kemasukan boost meter APEXi dan SAFC. Tempat duduk nampak lain sebab fabriknya sudah diganti dengan fabrik daripada Bride.
Ingat pasal modifikasi enjin tadi? Baiklah. Potensi RB25 tidak akan ke mana melainkan tukar sebuah enjin RB26DETT. Tetapi Farhan ada rancangan lain setelah dia cenderung nak ikut stail Thailand.
Dia sedang berunding dengan Banzai yang tengah tunggu enjin 2JZ sampai. Kereta ni pun FR, bukan GT-R. Resepi dah ada, tinggal tunggu masa, pasang dan pecut. Bila dah siap nanti saya datang tengok power ke tidak. Nak test pun R34 dah tak ada. Habis macam mana?
Sumber : Mekanika
Website :https://www.mekanika.com.my/
Facebook :https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram :https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube :https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ