Sejak semalam, kami siarkan Evo 9 Wagon, permintaan terhadap kereta ini mencurah-curah, tak sangka pula ramai peminat wagon di Malaysia. ni. Kalau semalam merupakan model moden, 4WD, turbo dan laju dan tak ingat punya mahal, ini adalah versi yang lebih rendah. Mitsubishi Fiore wagon. Ia dikeluarkan ketika negara sedang meraikan kedatangan Proton Saga Orion.
Di Malaysia, tidak ramai yang minat dengan kereta berbentuk wagon. Tempat duduknya tetap lima, cuma lebih panjang berbanding model sedan. Baik beli MPV terus, dapat kerusi belakang lagi sebaris! Jadi sangat tak hairan kalau Alza Sette boleh jual sampai puluhan ribu unit setahun.
Stigma sebegini menyebabkan para pengeluar lebih berhati-hati untuk memasukkan varian wagon dalam katalog jualan mereka. Naya sahaja kalau bawa masuk banyak-banyak, tapi tak boleh jual. Proton sendiri pun tak berani bikin kereta wagon. Baik buat Proton Tiara, ada juga orang nak beli.
Dalam pada tak minat itu, ada segelintir melihatnya sebagai sesuatu yang unik. Airi misalnya, antara kaki kereta yang obses dengan wagon. Pantang melintas, yang lepat macam keta pasar malam pun dia kata cantik. Kerana minat, maka tak peliklah kalau dia simpan sampai dua buah wagon kat rumah. Model yang baru sikit untuk famili, manakala yang lama pula bertindak sebagai kereta mainan.
Keta mainan Airi pun bukan calang-calang. Sebuah Mitsubishi Lancer Fiore C12 Wagon yang boleh membuatkan para peminat Proton Saga jadi cemburu. Memandangkan ia sebuah kereta projek, proses ubah suai perlu dibuat secara beransur-ansur. Barang makin pupus, memang makan tahunlah nak siap.
Keseluruhan bahagian luar merupakan set Fiore C12 Wagon yang lengkap. Nak bikin apa lagi, memang ini yang dicari. Moonroof berkembar itu pun memang datang standard begitu. Apa yang Airi tambah cuma gril depan MMC, visor krom, getah pintu Lancer A174 dan tailgate dengan penggilap cermin daripada varian Wagon 4WD.
Sistem suspensi masih mengharapkan keutuhan komponen standard. Breknya pun sama. Nak nampak lagi senonoh, rim asal digantikan dengan rim SSR Watanabe RS8 berukuran 16-inci bersama tayar jenis Bridgestone Turanza. Itu pun masih buatkan kereta ini nampak kecik.
Kereta ini datang dengan enjin Orion 1.5-liter yang sangat tahan gasak. Karburetor sahaja, tetapi digunakan dengan meluas pada varian terawal Mitsubishi Lancer, Colt dan Mirage. Enjin 4G15P pada Proton itu pun asalnya daripada enjin ini lah.
Mengekalkan enjin yang terlalu tua sebenarnya kurang praktikal. Lainlah kalau enjin itu memang jenis susah nak jumpa. Dalam kes Airi, pilihan enjin yang boleh digunakan sangatlah banyak. Sampai dua liter turbo pun ada. Tetapi lepas berkira-kira pasal belanja susu anak, enjin 4G91 yang lebih murah telah dipilih sebagai ganti.
Keseluruhan enjin boleh dimasukkan terus tanpa perlu diubah suai. Buat masa ini, Airi belum lagi terfikir nak bikin apa-apa.Cuma barang jenis wear & tear sahaja yang ditukar, selain penggunaan penapis udara open pod aftermarket. Kotak gear pula dilapik set klac Supertouring. Sementara ekzos menempatkan sebuah muffler kontot di bahagian belakang.
Bahagian dalaman masih mengekalkan rupa Fiore Wagon yang asal. Papan pemuka, tempat duduk dan semua tiangnya adalah komponen standard yang masih lagi cantik. Kalau dulu panel pintunya guna tingkap manual, sekarang dah ada suis. Barang-barang champion lain macam stereng Fiore C12 4WD serta songkok meter Saga UK Spec yang sangat-sangat rare.
Diberitakan, kurang daripada 20 buah Fiore Wagon yang masih sihat berkeliaran. Sayang benar kalau pupus dan usaha Airi menyelamatkan salah satu darinya, patut kita hargai.
Sumber : Mekanika
Website :https://www.mekanika.com.my/
Facebook :https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram :https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube :https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ