Impak Covid-19 ke atas Industri Pelancongan di Negeri Selangor
Pandemik Covid-19 telah memberikan impak kepada industri perkhidmatan dan perniagaan di seluruh dunia. Antara industri yang paling terkesan dan terjejas teruk adalah industri pelancongan. Menurut data yang diterima pihak Tourism Selangor, sekurang-kurangnya tiga buah hotel di Selangor telah menghentikan operasi manakala beberapa buah hotel memilih untuk memberhentikan sementara operasi sehingga penghujung tahun ini.
Para operator hotel yang memilih untuk meneruskan operasi pasca Covid-19 ini kebanyakkannya pula beroperasi tanpa mendapat keuntungan dengan jangkaan jumlah penginap hanya 40% dari kapasiti penuh hotel sehingga penghujung tahun ini. Industri pelancongan adalah sebuah industri yang prominen dengan negeri Selangor merekodkan jumlah kedatangan pelancong seramai 7.62 juta orang pada tahun 2019 dengan peningkatan sebanyak 5% berbanding tahun sebelumnya.
Manakala, merujuk kepada Laporan Kaji Selidik Pelancongan Domestik 2019 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor berada di tangga pertama dalam menerima kedatangan pelawat domestik pada tahun 2019 iaitu seramai 33.6 juta pelawat, diikuti oleh W.P Kuala Lumpur (22.6 juta), Sabah (22 juta), Perak (21.1 juta) dan Sarawak (19.8 juta).
Reset Tourism
Kerajaan Negeri Selangor melalui Badan Promosi Pelancongan Rasmi, Tourism Selangor sedang mempergiatkan usaha membangunkan semula industri pelancongan Negeri pasca Covid-19 dengan visi “Reset Tourism”. Antara inisiatif yang diambil bagi mencapai visi ini adalah pelaksanaan Kempen Pelancongan Domestik, ‘Pusing Selangor Dulu’. Kempen ini memberikan penekanan kepada pasaran pelancongan domestik susulan pengumuman pembukaan semula sektor pelancongan domestik bermula 10 Jun lalu oleh pihak Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC).
Antara perancangan bagi memperkasa pelaksanaan Kempen ialah penggunaan optima landasan digital dan laman sosial media untuk hebahan promosi serba mampan, kolaborasi bersama pihak Media tempatan dan antarabangsa khususnya melalui penganjuran Program Media FAM Trip, kolaborasi bersama penggiat industri bagi mempromosikan pakej-pakej pelancongan dan diskaun, pengiklanan outdoor billboard dan unipole bagi pasaran domestik, pembangunan pakej-pakej pelancongan baharu dengan nilai tambah yang unik, dan penganjuran acara-acara pelancongan Negeri Selangor dengan skala dan kapasiti yang dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Insentif dan Pakej Ransangan Ekonomi Pasca Covid-19
Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor pada 13 Julai telah mengumumkan Pelan Pemulihan Ekonomi 2020 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM 55.85 bilion. Fasa Ketiga yang diumumkan pada Isnin melibatkan tiga komponen iaitu jaminan bekalan makanan atau food security, kemampanan ekonomi atau economic sustainability, dan pembangunan keupayaan ataupun capacity building.
Dato’ Seri Amirudin Shari dalam hujah pembentangan beliau dalam Sidang DUN Negeri Selangor pada 13 Julai berkata, “Impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 terhadap sektor pelancongan Negeri Selangor amat dirasai terutamanya kepada pemain industri pelancongan seperti pengusaha hotel, inap desa (homestay), taman tema, syarikat penerbangan, syarikat perkapalan pelancongan dan agensi pelancongan.
Dalam usaha menggiatkan semula ekonomi Negeri, kita harus memainkan peranan berganding bahu bersama-sama menyemarakkan semula industri pelancongan domestik Negeri Selangor, sekaligus meletakkan Selangor sebagai sebuah destinasi pelancongan yang selamat untuk dikunjungi”.