Kalau dikaji trend modifikasi kereta tempatan, kebanyakan modifikasi yang dilakukan rata-rata mengikut acuan yang sama. Kalau Starlet begini, sudah pasti modifikasi enjin hanya terhad kepada enjin 2E atau 4E moden. Mungkin juga undang-undang melibatkan modifikasi enjin kini lebih ketat daripada dahulu membuatkan ramai orang tak berani mencuba sesuatu yang baru.
Jadi bila ada manusia yang mengubahsuai Starlet EP70 dengan enjin Levin AE101, mestilah kita teruja sebab sekarang ni, bukan senang nak bertemu dengan kereta diubahsuai begini. Menolak kelaziman penggunaan enjin turbo kepada model Starlet ini, pemilliknya lebih gemar menggunakan enjin Aspirasi Biasa (NA) berkuasa tinggi untuk memacu Starlet kecil ini dengan lebih pantas.
Enjin 4AGE 1600cc ini merupakan versi enjin Black Top yang diambil daripada kerangka model Levin AE101. Penggunaan enjin keluarga 4AGE ini bukan kali pertama boleh lihat digunakan pada badan Starlet di mana enjin 4AGZE Supercharger juga pernah digunakan.
Pengubahsuaian untuk memuatkan enjin ini sudah tentulah melibatkan cagak enjin dan kotak gear di mana ia agak berbeza daripada enjin yang asal. Tetapi saiz blok enjin ini yang tidak begitu besar memungkinkan ia dimuatkan tanpa melibatkan pemotongan bahagian badan kereta yang mungkin menjejaskan struktur kereta.
Enjin tersebut tidak banyak diubahsuai, cukup sekadar melakukan kerja-kerja port & polish kepada kepala silinder dan menggunakan “trumpet” induksi bagi menggantikan kotak penapis udara asal enjin. Kuasa kilas dari enjin ini sudah memadai untuk meluncurkan Starlet ini dengan pantas di atas jalanraya, tanpa rasa lag yang sering menghantui kereta berkuasa turbo.
Untuk melancarkan lagi enjin, pemilik turut menggantikan sistem ekzos dengan set ekzos buatan custom yang bermula dari ekstraktor hinggalah ke peredam bunyi belakang. Kotak gear dari half-cut turut dipakai dan istimewanya setup kotak gear Starlet ini ialah pemiliknya telah mengganti klac asal dengan klac perlumbaan dari Exedy dan memadankan sebuah LSD buatan TRD.
Untuk melayan memastikan kestabilan ketika dipandu, Starlet ini dilengkapi dengan penyerap hentak jenis bolehlaras dari TRD. Sebuah strut bar OEM Starlet EP71 juga dipadankan untuk melengkapkan modifikasi bahagian ini.
Walaupun menggunakan enjin Levin, bodykit Starlet ni masih kekal Starlet dengan spesifikasi JDM Japan Domestic Model) yang popular itu. Bahagian luar dipadankan dengan bodykit original Starlet EP71 Turbo yang lengkap dengan skup udara. Badan kereta dicat dengan warna putih dan dihiasi dengan stiker buatan custom – cukup kemas dan bersih.
Bahagian dalam pula boleh dikatakan hampir 100 peratus aksesori JDM original Starlet EP71 Turbo digunakan, termasuklah bahagian papan pemuka, tempat duduk dan stereng. Meter boost yang sering dilihat dalam kereta Starlet seperti ini telah digantikan dengan sebuah takometer gergasi dari Autometer siri Sport Comp dengan shift light binadalam.
Menyimpan dan merestorasi kereta lama begini sudah pasti membangkitkan nostalgia masa silam. Jadi tidak hairanlah walaupnun usia kereta ini telah mencapai status klasik, ia tetap menjadi buruan segelintir golongan yang menghargai teknologi lama dalam dunia moden. Pujian harus diberikan kepada pemilik kereta ini yang bukan sahaja berjaya mengekalkan rupa yang lebih baik, malah prestasi yang turut ditingkatkan
SPESIFIKASI
- Model: Toyota Starlet EP70
- Ubahsuai Enjin: 4AGE 4 throttle 20v, port & polish, “trumpet” aluminum
- Kotak Gear: 4AGE standard, klac Exedy, LSD TRD
- Sistem Gantungan: TRD bolehlaras, strut bar OEM EP71
- Rim / Tayar: Enkei CPS2 replika / Pirelli 195/55
- Brek: Brek depan EP82, belakang drum standard
- Dalaman: EP71 turbo dashboard, EP71 seat, EP71 turbo stereng, takometer Autometer Sport Comp
- Luaran: Bodykit EP71 lengkap
Sumber : Mekanika
Website :https://www.mekanika.com.my/
Facebook :https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram :https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube :https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ