Biar pun telah menjangkau usia lebih 20 tahun, Civic hatchback generasi kelima ini masih lagi bertahan sebagai model pilihan untuk tujuan kesukanan. Pergi tengok memana sekalipun, aksi lincah Civic lelumba dengan badan separa rentung bukanlah sesuatu yang asing.
Bergandingan dengannya merupakan kumpulan penakluk jalan, yang bersedia menyahut cabaran bila perlu. Dia punya bikin, geng main trek pun serender. Paling tidak pun bikin macam kereta Daus ni, yang mungkin nampak setinggan di bahagian luaran, tapi tetap menyimpan sesuatu yang menarik di ruang dalamnya.
Tarikan kereta ini terletak di bahagian enjin, yang dibina kemas dan menyelerakan. Memilih enjin B16B sebagai asas, ia bagaimanapun belum menerima sebarang pengubahsuaian bagi meledakkan potensi dirinya yang sebenar. Dah memang Type R kot, pakai standard pun sedap. Buat masa ini, perubahan dibuat hanya melibatkan penggunaan ram udara Mugen, throttle body Skunk2, kabel pencucuh NGK R09, serta unit regulator Tomei. Perjalanan enjin kemudian diselia unit ECU P08, yang menerima cip talaan Neptune dengan input lebih optimum.
Penghasilan gas buangan dikeluarkan menerusi ekstraktor dan paip ekzos kustom, yang berhubung terus dengan muffler Pro Racer. Dengor nama pun segan. Akhir sekali binaan sistem pacuan menggunakan kotak gear S80, sebelum dipadankan dengan set klac Ogura Racing.
Penampilan luaran sebenarnya beshe-beshe ajer. Seperti kebanyakan pemilik lain, Daus turut menggunakan kit badan standard Civic EG6 sebagai kaedah naik taraf. Satu-satunya komponen asing yang ditambah adalah, unit spoiler Spoon dengan kemasan gentian karbon. Pilihan kaler merah yang menjolok mata, membantu menaikkan tahap kejelesan.
Ruang roda menerima rim Volk Racing CE28, yang dibalut pada tayar Yokohama Advan Neova bersaiz 195/55R-15. Untuk membetulkan karektor pemanduan, sistem gantungan dibantu set suspensi boleh laras ZerOne. Sementara kuasa membrek datang dari set kaliper Spoon Twin Block, yang diakui paling cocok untuk kebanyakan model berprestasi Honda.
Macam luar, belah dalam juga dibuat cukup ringkas. Salinan perkakasan Civic EG6 dah jadi kemestian, sebelum diadun bersama komponen tambahan yang lain. Antaranya sepasang tempat duduk Recaro SR3 milik Integra DC2, meter digital S2000, roda stereng Momo, tombol gear K-Tuned, serta deretan meter Defi untuk tujuan pemantauan. Disebabkan Daus tak kasi orang tumpang keretanya, tempat duduk belakang terus dilipat dan dikemaskan dengan tong ikan Civic EG6 pada ruang boot.
Tidak seperti model kereta lain, kebanyakan Civic lelumba masih dijual pada paras harga yang agak keras. Tak kisah tahun berapa pun. Lagi banyak jajan dipasang, lagi tinggilah nilai yang perlu dibayar…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Mohd Firdaus
- Pengeluar – Honda
- Model – Civic EG3
- Tahun – 1992
- Enjin asal – D13B
- Modifikasi Enjin – B16B, ram udara Mugen, throttle body Skunk2, kabel pencucuh NGK R09, regulator Tomei, ECU P08 & cip talaan Neptune, cagak enjin Hasport, radiator aloi Blox
- Transmisi – Kotak gear S80, set klac Ogura Racing
- Ekzos – Ekstraktor & paip ekzos kustom, muffler Pro Racer
- Luaran – Kit badan Civic EG6, spoiler Spoon gentian karbon
- Suspensi – ZerOne
- Brek – Spoon Twin Block (depan)
- Rim & Tayar – Volk Racing CE28 15-inci & Yokohama Advan Neova 195/55R-15
- Dalaman – Salinan komponen Civic EG6, tempat duduk Recaro SR3, meter digital S2000, stereng Momo, tombol gear K-Tuned, meter Defi
- Bengkel – G-Jan Garage