X FACTOR

Generasi Evo X menerima tempias kurang enak, selepas dikaitkan dengan model perantara khususnya Lancer GT. Lebih parah apabila Proton, turut diberi hak menukar logo dan menamakannya sebagai Inspira. Sedikit demi sedikit, demam modifikasi mula melanda pemilik model-model ini yang cuba memomokkan jentera mereka menjadi seperti Evo X yang sebenar.

Tapi tak semuanya berjaya. Cuma sekerat dua jer yang cemerlang, sementara sebahagian yang lain hanya mengilhamkan rupa luaran sahaja. Hak masing-masing. Namun kaedah menepek kit badan seperti ini tidak menjadikan ia sebuah Evo X sejati. Malah reputasinya sebagai Evo terakhir, telah meletakkan kereta ini pada kelas tersendiri.

Jadi apa lagi yang boleh dilakukan oleh pemilik Evo X untuk lari dari tema yang sama? Bagi Raymond, ia perlu sentuhan lebih agresif untuk tampil lebih gah bertenaga. Hal ini dicapai menerusi padanan kit badan yang diilhamkan dari tuner terkenal. Antaranya penggunaan kit bumper dan skirt Varis, fender lebar Chargespeed untuk depan dan belakang, juga rangkaian aksesori kustom untuk spoiler GT dan corong lampu utama. Sementara hood, cermin sisi, sirip vortex dan difuser belakang diberi kemasan gentian karbon.

Keseluruhan roda menerima set tayar Yokohama Advan A050 bersaiz 265/35ZR-18 dan dipadankan pada rim sukan oren yang berbeza. Depan pakai Advan Racing RS, manakala belakang dihuni rim Advan Racing GT. Membolehkan ia berhenti pada waktunya, sistem brek dinaik taraf menggunakan kit Brembo 18Z dengan kaliper 6-pot untuk depan, serta 4-pot di ruang belakang. Bagi mengubah karektor pengendalian, sistem gantungan menggunakan set suspensi boleh laras Tein Monoflex, sambil dibantu bar antiroll dari Whiteline.

Tidak seperti generasi sebelumnya, model Evo X datang dengan enjin 4B11T serba baru dengan teknologi injap pemasa MIVEC. Memandangkan ia tidak dibina untuk menakluk litar, proses tingkat taraf tidak melibatkan bahagian dalaman, kecuali penempatan set camshaft Tomei Poncam di bahagian kepala silinder.

Tumpuan seterusnya melibatkan sistem pendesak, yang hadir dengan kit turbo MHI TF06-18K pada manifold turbo Map Investment. Ia dihubungkan kepada paip dan intercooler HKS, sebelum lebihan tekanan dikeluarkan menerusi injap pelepas Tial QRJ.

Keperluan bahan api dibawa oleh pam petrol DeatschWerks DW65C, terus ke set injektor FIC 1200cc. Turut disentuh unit ECU asal yang telah diprogramkan semula, untuk capaian kuasa yang optimum.

Ruang dalaman yang sudah sedia baik terus dikekalkan, kecuali kehadiran set roll cage kustom pada tempat duduk belakang. Saja takmo kasi orang tumpang. Unit stereng asal diberi balutan fabrik alcantara, untuk menambah keselesaan. Kemudian ada gugusan meter Defi dan AEM, paparan Defi ZD, selain tambahan aksesori gentian karbon di sana-sini.

Dengan nilai semasa yang semakin masuk akal, model Evo X kini kian mendapat tempat khususnya di kalangan mereka yang ingin merasai nikmat sebuah sedan berprestasi yang sebenar…

SPESIFIKASI