Tukar Warna Kenderaan? Tolong Ikut Prosedur!

Lazimnya, kita sebagai pengguna akan memilih terlebih dahulu warna yang didambakan sebelum membeli kereta. Kalau bernasib baik, boleh dapat warna yang diinginkan tapi ada juga yang tak boleh bersabar menunggu giliran dan terpaksa bersetuju dengan warna kereta yang sudah ada dalam stok. Hal ini pernah terjadi pada ramai orang. Lain yang dimahukan, lain yang dapat. Nak menunggu warna silver tapi kena tunggu berbulan-bulan. Hati dah tak sabar nak berkereta baharu, sudahnya reda dengan warna merah oren yang ada.

Memandangkan hati tak senang terpaksa hadap kereta dengan warna yang langsung tak berkenan di hati, maka mula pasang niat untuk mengubah atau mengecat dengan warna lain. Itu biasa terjadi, betul tak?

Namun, berapa ramai yang tahu ada beberapa prosedur yang perlu dipatuhi sebelum niat itu diteruskan? Mungkin nampak remeh tapi kalau prosedur ini tidak dipatuhi, anda menempah risiko berdepan dengan tindakan di masa akan datang. Jadi, di sini kami kongsikan prosedur seperti yang dinyatakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi laman rasminya di Facebook.

Panduan Tukar Cat/Warna Kenderaan.
1. Cat dahulu kenderaan.
2. Apabila siap dicat, hadir ke Pejabat JPJ.
3. Jika kenderaan diwarnakan melebihi dari 1 warna, warna yang paling banyak atau dominan dianggap warna kenderaan tersebut.
4. Isi Borang JPJ K8 (pindaan butir-butir kenderaan) dan serah pada Pegawai JPJ yang bertugas.
5. Pegawai bertugas akan mengemaskini dalam sistem MySikap
6. Tiada bayaran dikenakan.

Merujuk Seksyen (12) APJ 1987, setiap pemilik kenderaan yang menukar warna, perlu diberi suatu Notis Arah Periksa atau PG1. Notis tersebut diberikan supaya pemilik memaklumkan kepada JPJ setiap perubahan warna kenderaan berkenaan dan bukanlah saman kerana tukar warna kenderaan. Pengemaskinian warna kenderaan di dalam sistem adalah penting supaya jika terjadi apa-apa seperti kemalangan atau sebagainya warna kenderaan yang didaftarkan boleh dijadikan rujukan.

Kalau nak ubah warna kenderaan, boleh rujuk panduan ini. Kita jaga kita!

Sumber : Facebook Jabatan Pengangkutan Jalan