TRAK PIKAP DATSUN B120
Pada era 1990-an dan milennium, ternyata modifikasi kereta Proton, Perodua dan Honda cukup popular di Malaysia. Pertandingan auto show yang cukup popular ketika itu sedikit sebanyak menyumbang kepada modifikasi ke arah show car yang mungkin dahulunya tak begitu popular.
Pasca milenium menyaksikan trend ubah suai kereta di Malaysia sedikit berubah. Dulu, kalau kereta tak ada enjin turbo atau VTEC, memang geng-geng kereta tak pandang laa… Tapi sekarang, orang kita dah mula beralih angin ke kereta-kereta lama atau old skool bak kata orang putih.
Tak dinafikan, kereta-kereta lama dah lama dijadikan bahan modifikasi di Malaysia. Namun, rata-rata keadaan kereta agak teruk dan lebih terarah untuk kuasa kuda semata-mata. Akhirnya, kereta berpusing masuk longkang sebab tak dapat dikawal.
Bayangkan kereta Opel Kadett masuk enjin SR20DET dengan absorber standard dan tayar kecil, memang ke longkang la jawabnya. Sekarang zaman dan citarasa dah berubah. Paling penting, ilmu penggemar kereta kita jauh lebih baik berbanding dahulu.
Ilmu dan citarasa yang tinggi ialah formula yang boleh menghasilkan projek kereta seumpama ini. Sejuk mata memandang. Siapa sangka kereta, err… trak pikap yang dahulunya dibelasah teruk oleh kontraktor kini dah jadi satu benda yang cukup menarik.
Untuk anda yang baru nak kenal kereta-kereta lama, model trak ini ialah Datsun B120. Ini adalah versi trak pikap untuk Datsun B110 atau lebih terkenal dengan nama Datsun driving school sebab model ni zaman dulu-dulu memang digunakan untuk sekolah memandu di Malaysia. Anda yang lahir selepas tahun 1990 mesti tak ingat sebab masa itu dah guna Kancil. Tapi bagi geng-geng otai, inilah kereta yang pertama mereka pegang untuk dapatkan lesen.
Datsun B120 ini boleh dianggap berada dalam kondisi yang layak dipamerkan di Japanese Classic Car Show (JCCS) yang cukup popular di Amerika Syarikat. Kebanyakan kereta yang menyertai pameran kereta klasik seumpama itu lebih gemar diubahsuai dengan gaya klasik retro Jepun dan jarang sekali dicampur-aduk dengan aksesori modern. Kalau ada pun, selalunya pada bahagian enjin. Tetapi yang lain begitu setia dengan gaya retro Jepun.
Datsun B120 ini memang setia dengan gaya klasik Jepun. Malah hasil kerja restorasinya amat membanggakan. Enjin asal Datsun ini ialah daripada model A12, enjin 1,200cc OHV yang sememangnya direka untuk tahan selama-lamanya dan mudah untuk diselenggara. Maka tidak hairanlah jika enjin itu dikekalkan, cuma ia dibaik pulih semula untuk memastikan kereta boleh bergerak dengan selamat.
Indahnya enjin lama macam ini ialah pendawaian enjin yang sangat sedikit. Jadi ruang enjin boleh dikemaskan apabila pendawaian enjin disorok dari pandangan. Tak ada modifikasi untuk prestasi dilakukan, kecuali penambahan sebuah penapis udara jenis open pod. Selain cat jalur merah, putih dan biru untuk penutup kepala silinder yang mengikut skema warna Datsun Racing era 1970-an.
Dari segi pengendalian, Datsun ini dibekalkan dengan penyerap hentak boleh laras Cusco yang diubah suai daripada model Silvia S13 di hadapan dan penyerap hentak standard dikekalkan di belakang.
Memandangkan trak ini menggunakan sistem gantungan belakang jenis pegas dedaun, kerja merendahkannya sebenarnya lebih mudah. Cuma gantikan blok besi yang mengikat penyerap hentak dan pegas dedaun. Secara automatik, kereta dapat direndahkan.
Tema retro diteruskan dengan pemilihan kombinasi rim dan tayar. Agak pelik dan memang tak kena langsung kalau kereta klasik macam ni pakai rim moden kan? Jadi pemilik Datsun ini memilih rim Enkei AP Racing berdiameter 13 inci dengan tayar Silverstone Synergy M3 bersaiz 185/60/13.
Mungkin bagi peminat kereta baru, rim 13 inci terlalu kecil. Tetapi untuk kereta era 1970-an, rim 13 inci kira dah sama standard dengan rim 17 inci zaman sekarang.
Aksesori asal JDM digunakan bagi menyolek luaran Datsun ini. Gril Datsun B110 GX-5 menggantikan gril asal. Sepasang cermin sisi jenis ‘tanduk’ digunakan bagi mengekalkan gaya kereta klasik Jepun dan sebuah lips depan custom turut dipadankan.
Paling respek adalah proses restorasi badan Datsun ini yang bagi saya sangat sempurna. Tak nampak kesan-kesan welding, simen atau karat, memang licin dan bersih. Kombinasi warna putih dengan jalur berwarna oren sememangnya menaikkan lagi seri trak ini.
Pada bahagian dalam, sepasang tempat duduk Recaro jenis fishnet digunakan. Sementara kulit pintu mendapat balutan PVC baru yang dicorakkan dengan gaya klasik. Stereng asal diganti dengan stereng Momo. Karpet vinil asal diganti dengan karpet jenis fabrik.
Memang sejak kebelakangan ini saya nampak trend modifikasi kereta-kereta retro menjadi semakin popular. Walaupun ada suara-suara sumbang dari industri yang cuba melupuskan kereta-kereta lama macam ni. Sampai hati ke nak buang kereta macam ni?
SPESIFIKASI
-
-
- Pembuat / Model: Datsun B120
- Enjin: A12 1200cc OHV karburator tunggal, penapis udara K&N
- Kotak gear: Standard 4 kelajuan manual
- Sistem ekzos: Standard
- Sistem brek: Standard
- Suspensi: Penyerap hentak boleh laras Cusco (depan), standard (belakang)
- Rim/Tayar: Enkei AP Racing 13” / Silverstone Synergi M3 185/60/13
- Luaran: Gril depan Sunny B110 GX-5, lips depan custom, badan restorasi semula
- Dalaman: Tempat duduk Recaro, stereng Momo, kulit pintu dibalut semula, karpet fabrik custom
-
Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ