Kita terpaksa akui bahawa Toyota telah mengubah dunia secara keseluruhannya. Mereka mempunyai bisnes dari segenap sudut automotif. Toyota juga yang meneroka teknologi hybrid menjadi komersial dan mengukuhkan produksi dan jualan setiap tahun.
Selain daripada membuat kereta dengan cara yang paling unik TPS (Toyota Production System), Toyota mempunyai strategi pemasaran yang sangat berkesan. Mereka ada model khusus untuk dunia ketiga dengan satu casis yang dibahagikan menjadi tiga model seperti Innova, Hilux dan Fortuner, serta satu lagi barisan lebih kecil iaitu Avanza dan Rush. Mereka ada Lexus untuk pasaran orang kaya, di samping model 4X4 paling dipercayai di dunia, Land Cruiser dan Prado.
TPS adalah contoh sistem sosio-teknikal yang merangkumi praktik dan falsafah pengurusan. Ia bukanlah sistem yang terbina setahun dua. Sebaliknya pembangunan ekstensif ini bermula pada 1948 hingga tahun 1975.
Mekanisme ini menyatukan pengurusan pembuatan dan logistik untuk pembuat kenderaan termasuklah interaksi di antara pembekal dan pelanggan. Kini, ia menjadi contoh pengurusan yang diguna pakai oleh banyak industri di dunia.
Di bandar Toyota di Jepun, Aichi, sistem ini mendapat status kompleks yang dihormati. Korea Selatan mengambil contoh ini dengan menjadikan Ulsan sebagai bandar Hyundai mereka. Thailand mengumpulkan rangkaian industri mereka di Rayong dan Proton mencuba dengan Tanjung Malim.
Kalau saya nak cerita bab TPS sampai Raya tahun lusa pun belum habis. Jadi lebih baik saya cerita pasal kereta ni. Namanya Toyota LE, keluarga Corolla yang merupakan Corolla paling suskes membuka ruang dagangan automotif di Amerika Syarikat.
Walaupun pada peringkat awal konfigurasi pacuan depannya menerima kritikan pedas dan sukar diterima, namun faktor ekonomikal menjadi senjata paling penting Toyota untuk menembusi ruang niaga di negara konsumer terbesar dunia itu. Nasib Toyota dibantu oleh peningkatan harga komoditi bahan bakar petroleum dan pertumbuhan ekonomi yang lembab pada era itu.
Di Malaysia, kereta ini dikenali kerana ia boleh diharap dan lasak. Namun, nasib LE tidak sebaik yang dinikmati model DX (KE70). Boleh dikatakan bahawa AE80 sealiran dengan nasib AE90 (SE Limited). Kurang permintaan dan modifikasinya juga makin suram. Payah nak jumpa dah kereta ni.
Hari ini, masih ada saki-baki LE yang masih setia dipegang oleh pemiliknya. Salah satunya ialah model ini yang masih segar dalam ingatan saya dulu ada otai di kampung yang guna. Masa tahun 1990-an punyalah gempak gila. Pada hal letak enjin 4AG biasa pekak je pun. Masa itu enjin 4AGZE tengah top dan jadi raja jalanan sebelum gelaran itu disapu bersih oleh GSR, EVO dan VTEC.
Berbaloi tak main kereta ni?
Kalau anda nak main kereta runcit-runcit, LE yang sudah dipasang enjin 4AG/4AGZE boleh dibeli pada harga kurang RM10,000. Kalau tanya saya, memang berbaloi sangat sebab kereta ni teknologinya tidaklah terlalu tua. Kereta ini ada tingkap kuasa, suspensi bebas dan barangnya masih senang nak dapat.
Selepas beberapa tahun membeli kereta ini, Faizal rasa sudah sampai masanya untuk menjadikannya sebuah kereta yang sopan. Enjin 4AGE blacktop 20V dipilih. Ia memang enjin 4AGE generasi terakhir yang telah lama dikeluarkan sejak tahun 1980 lagi. Bagaimanapun, ini bukanlah versi enam kelajuan yang sekarang mahal bukan main lagi saya dengar.
Enjin ini tidak banyak diubah suai. Ada plug NGK, pam bahan api Bosch dan ECU E-Manage. Ekzosnya datang daripada manifold 4-2-1, paip tahan karat dan peredam bunyi Trust. Kotak gear lima kelajuan kereta dipasangkan dengan klac TRD, flywheel Toda dan LSD full lock.
Suspensi LE agak mengelirukan sebenarnya. Sebabnya, kalau tidak direndahkan, kereta ini memang hodoh apabila dipasang dengan rim lebih besar daripada 14 inci. Apabila digandingkan dengan rim Buddyclub 15 inci dengan tayar 205/55, automatiknya kereta lebih tinggi.
Maka Faizal menggantikan set asal dengan suspensi RSR boleh laras. Kemampuan breknya juga ditingkatkan lagi dengan brek AE111 Levin GT di keempat-empat roda.
Bahagian dalaman dimulakan dengan papan pemuka AE92GT yang bulat, melawan arus bentuk kereta empat segi ini. Tempat duduk daripada model Levin punya dan stereng Nardi dipasang. Lain-lain bahagian masih original, selain sistem audio yang tidaklah terlalu menyerlah.
Luar kereta diubah suai dengan bodypart AE80GT di bahagian hadapan dan AE82 Trueno untuk belakang dan skirting sisinya. Ringkas, tetapi tetap menarik perhatian.
Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ