TOYOTA CELICA ST205

Tahun 1980-an dan 1990-an merupakan era kegemilangan kereta sports buatan Jepun. Toyota saja ada beberapa model.

Antaranya ialah Levin/Trueno AE86, Celica, MR2 dan Supra. Itu belum campur lagi model hatchback dan coupe separa sports macam Corolla Levin AE82, Corolla Sprinter, Starlet GT dan sebagainya. Hah! Ni baru cerita pasal Toyota, belum lagi pasal pengeluar lain.

Bagi peminat di luar Jepun, kita terpaksa bersuka-ria dengan kereta-kereta sports yang dah nak masuk kategori klasik. Mungkin kereta sports buatan Toyota yang paling low profile ialah Celica. Bukan model siri TA klasik yang harga sekarang macam nak gila, tapi model generasi siri ST.

Siri ini ialah model terakhir Celica yang boleh dibeli dengan enjin berkuasa turbo dan sistem pacuan empat roda. Model ini juga kereta terakhir Toyota dalam kejohanan rali dunia sebelum Toyota menumpukan perhatian kepada perlumbaan NASCAR dan Indy 500.

Di Malaysia, model ini boleh dikira dengan jari. Tidak ramai yang pandu walaupun kereta ini sebenarnya best. Mungkin reka bentuknya kurang menarik atau orang kita lebih gemar kereta sports empat pintu macam Evo dan Impreza. Jadi, kalau anda tengah nak cari kereta sports Jepun dengan bajet rendah, apa kata cari kereta ni?

Tak best? Tak lawa? Nanti dulu, tengok dulu apa yang boleh dibuat kalau anda beli Celica ini. Celica putih ini milik Muhamed Boliya dari Melaka. Asalnya model ST202, tetapi sekarang dah ikut spec ST205. Apa tu? Okey la, saya cerita sikit. ST202 ialah model pacuan roda depan dengan enjin 3S-GE 2000cc DOHC N/A. Sementara ST205 pula ialah model turbo dengan sistem pacuan empat roda sepenuh masa.

Kalau dah jadi ST205, sudah tentu enjin kena tukar kan? Memang pun. Enjin N/A yang sama dengan enjin Toyota Camry dulu itu sudah diganti dengan enjin 3S-GTE yang diambil daripada half-cut Celica ST205. Maka, pemasangannya boleh dikatakan plug & play sahaja. Tak payah nak susah-susah buat mounting baru atau potong body.

Enjin 3S-GTE memang terkenal sebab ia lasak dan agak berkuasa. Nak cari alat ganti pun tak berapa susah sebab enjin ini boleh dikatakan sama sahaja dengan enjin Caldina GT4. Susah sangat, barang Toyota Camry pun boleh masuk.

Boliya tak banyak sangat usik enjin tersebut, memadai dengan memasang sebuah injap blow-off buatan GReddy dan penapis udara HKS. Kalau anda perasan, kereta ini macam ada dua radiator. Memang pun! Tapi yang bahagian atas enjin itu bukannya radiator enjin, tapi intercooler untuk turbo! Berapa banyak enjin turbo di dunia yang intercooler guna air? Saya rasa Celica ini sahaja yang buat macam tu.

Boliya juga menggantikan kabel palam pencucuh kepada kabel Ultra. Manakala pam dan alat pancitan bahan api enjin ditukar dengan barang daripada enjin Toyota 1JZ. ECU asal enjin pula dinaik taraf dengan cip Mine’s. Tak lengkap modifikasi kereta kalau ekzos tak dibuat. Jadi, kereta ini menggunakan paip tengah saluran terus 3.5 inci dengan peredam bunyi Blitz Nur Spec yang bunyi dan rupanya memang ganas.

Memandangkan ini bukan chasis asal ST205, maka pemiliknya terpaksa berpuas hati dengan sistem pacuan roda depan (FWD). Walaupun enjin tak banyak diubah suai, kuasanya tetap cecah 250bhp. Menangis juga kotak gear asal nak tampung kuasa sebanyak itu.

Jadi, apa yang dibuat ialah ganti klac asal dengan klac Exedy Racing. Flywheel pula guna flywheel Toda. Kotak gear 4WD yang dah dikunci jadi FWD ada LSD, jadi saluran kuasa agak seimbang.

Kereta sports yang baik ialah kereta sports yang seronok dipandu di atas apa jua kondisi jalan. Sebab itu Boliya ganti semua penyerap hentak asal dengan suspensi sports TRD. Strut bar depan daripada Cusco digabungkan dengan strut bar asal kereta bagi memantapkan lagi pengendalian kereta. Kereta ni melekat di atas jalan raya menggunakan tayar Bridgestone Potenza bersaiz 225/45/17 pada semua sudut yang membalut rim aloi Volk Racing TE37 Limited bersaiz 17 inci.

Orang kata kereta ni kurang cun. Ada yang lagi kejam kata kereta ini hodoh macam katak puru. Saya rasa okay je. Masuk bodykit model ST205, kereta terus nampak ganas. Tambah pula bonet depan ialah versi Carlos Sainz yang agak rare (kira macam versi Tommi Makinnen Evo). Cuma spoiler belakang yang tak ada, lain-lain semua dah lengkap jadi ST205.

Bahagian dalam, Celica ini masih nampak macam model ST202 kerana masih standard, kecuali papan pemuka yang dah masuk barang ST205. Aksesori tambahan termasuklah stereng sports TRD, turbo timer Blitz, meter RSM A’PEXi dan turbo timer A’PEXi.

Kalau anda tertanya-tanya berapa harga kereta ini di pasaran, harganya yang dah siap convert sekitar RM40,000. Kalau standard enjin NA, bawah RM30,000 pun boleh dapat. Murah kan?

Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ