Tindak Balas Perancangan Terhadap Gangguan Bekalan Akibat Covid-19

Perodua berterima kasih kepada para pelanggan atas sokongan dan kefahaman mereka, terutama sekali yang bersabar menunggu kenderaan Perodua mereka. Penghantaran akan bertambah baik dalam beberapa bulan yang akan datang seperti yang diberitahu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Pada asas tahunan, Perodua mencatatkan 190,291 kenderaan pada 2021, penurunan sebanyak 13.6% daripada 220,154 unit yang dijual pada 2020 berikutan kesan Covid-19, gangguan bekalan cip semikonduktor dan musibah banjir baru-baru ini yang telah memberi kesan buruk kepada pengeluaran. 190,291 pendaftaran adalah di bawah sasaran 200,000 unit pada 2021 kerana cabaran pada 2021 adalah lebih besar daripada yang dijangkakan.

Menurut Dato’ Zainal Abidin Ahmad, walaupun begitu Myvi terus menerajui keseluruhan pasaran Malaysia dari sudut jualan mengikut model dengan 47,525 unit diikuti Axia dan Bezza yang menguasai pasaran segmen A negara.

Mengenai gambaran keseluruhan industri, Dato’ Zainal berkata jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi tahun tersebut juga menyaksikan impak jualan yang sama, dengan anggaran penurunan sebanyak 4.5% kepada 504,536 unit daripada 528,172 unit yang dijual pada tahun 2020.

“Walaupun prestasi lebih rendah daripada jangkaan untuk 2021, tindak balas perancangan kami untuk impak Covid-19 telah terbukti berjaya setakat ini kerana kami dan para pembekal kami telah bekerjasama secara dinamik dan menyelaraskan usaha kami untuk memastikan segala gangguan dapat dikurangkan,” katanya.

“Usaha ini termasuk menyediakan pasukan yang bersedia untuk mengambil tindakan yang aktif di lapangan sekiranya pembekal berada dalam keadaan perintah berkurung dan juga memperuntukkan kakitangan Perodua untuk menyokong mana-mana pembekal yang memerlukan tenaga kerja gantian sementara,” kata Dato’ Zainal.

“Walaupun begitu, kami menghargai kefahaman yang telah ditunjukkan oleh para pelanggan kami yang dihargai dan pemegang amanah yang lain kepada kami tahun lepas dan kepada para pelanggan, kami ingin menyatakan bahawa kami di sini untuk anda,” tambahnya.

“Rantaian bekalan automotif tempatan telah mengalami kemerosotan besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini, namun begitu, jumlah tempahan kenderaan Perodua kekal sihat kerana pengguna masih memberi maklum balas positif terhadap pengecualian cukai jualan yang diperkenalkan oleh kerajaan,” Dato’ Zainal berkata.

“Pada Disember, kami meramalkan sasaran jualan 240,000 untuk 2022, walaubagaimanapun, kami mungkin akan menyemak semula angka tersebut pada lewat bulan ini (Januari) kerana kami sedang mengambil kira dan mempertimbangkan segala perkembangan dan peristiwa terkini yang berlaku,” kata beliau.

Mengenai program Bantuan Banjir Perodua baru-baru ini, Dato’ Zainal berkata kira-kira 1,675 orang telah memberi maklumbalas kepada program tersebut dan kenderaan mereka sedang diperiksa di pusat servis Perodua di seluruh negara.

“Program Bantuan Banjir Perodua, yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri pada 26 Disember 2021, telah menarik minat orang ramai”.

“Keutamaan kami kini ialah bekerjasama dengan syarikat-syarikat insurans serta rakan kongsi kami yang lain untuk mempercepatkan sebarang proses kelulusan yang diperlukan untuk membaiki dan memulihkan kenderaan yang rosak akibat banjir.

“Kami memahami bahawa kebanyakan pelanggan kami bergantung kepada kenderaan Perodua mereka untuk menjalani aktiviti harian dan kami akan melakukan yang terbaik untuk terus membantu mereka,” kata Dato’ Zainal.