Tiada Jualan, Industri Automotif Negara Dianggar Kehilangan RM3.44 Bilion?

Sejak sekatan pergerakan penuh bermula 1 Jun lalu, penutupan bilik pameran dan pengeluaran diberhentikan menyebabkan hampir tiada kereta dijangka dapat dijual pada bulan ini. Mengikut purata harga jualan kenderaan RM70,000 seunit di Malaysia, industri automotif negara dianggar kehilangan pendapatan sekitar RM3.44 bilion pada Jun jika jangkaan tiada jualan direkodkan bulan ini.

Pelbagai usaha telah dijalankan oleh pengeluar keretatermasuk memperkenalkan platform pembelian dalam talian seperti e-showroom, namun ia tetap tidak dapat membantu ekoran kekangan proses dokumentasi pinjaman dan pendaftaran yang mungkin menyebabkan penangguhan urusan jual beli.

Menurut Kenanga Research dalam nota penyelidikan, hanya beberapa unit dapat didaftarkan menerusi sistem e-Daftar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi pembelian kenderaan dengan pinjamannya telah dipersetujui menerusi surat aku janji (LOU).

Jualan kenderaan merosot 19 peratus kepada 46,663 unit pada Mei, berbanding 57,912 unit yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Menurut MAA, jualan bulan lalu lebih rendah selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dari pertengahan hingga akhir Mei. Selain itu, jumlah keseluruhan industri (TIV) pada Mei lebih rendah disebabkan PKP 3.0, bulan bekerja lebih singkat berikutan cuti umum Aidilfitri dan kekurangan cip komputer yang menjejaskan jualan beberapa pengeluar.

TIV automotif tempatan berada pada 245,932 unit setakat Januari hingga Mei berbanding 128,790 unit dicatatkan tempoh sama tahun lalu. Kenderaan penumpang mencatatkan jualan 41,988 unit pada Mei, manakala kenderaan komersial 4,675 unit.

Sebagaimana yang dinyatakan MAA sebelum ini, jualan pada bulan Jun dijangka minimum disebabkan pelaksanaan PKP 3.0 yang menyaksikan bilik pameran tidak dibenarkan dibuka. Kebanyakan agensi kerajaan seperti JPJ, PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) ditutup atau beroperasi dengan jumlah kakitangan yang minimum.

Sumber : Berita Harian