THE MAGNIFICENT SEVEN

Dalam banyak-banyak generasi EVO, siri CT9A menerima anjakan baru apabila dikeluarkan dalam skala yang besar. Abes serata ceruk dapat merasa, sampai hilang sifatnya sebagai sedan sukan yang istimewa. Betul ke?

Dari satu sudut mungkin. Tapi dari segi populariti, ia berjaya melonjakkan nama EVO sebagai sebuah sedan yang sempurna. Bukan takat ada 4-pintu dan boot, tapi turut ditawarkan dengan pakej prestasi yang serba lengkap. Saingannya ketika itu cuma Impreza, manakala pengeluar Jepon lain tidak menghasilkan sesuatu yang sama.

Tempias populariti ini turut melanda pasaran tempatan, apabila ia mampu dijual dalam jumlah yang banyak. Sesuai dengan tugasnya sebagai orang kuat Three Diamond Members (TDM), Punk Ching juga memilih model ini sebagai jentera mainannya.

Yang menarik tentang EVO adalah rupa parasnya yang ringkas tetapi garang. Bayangkan 15 tahun dulu dah bikin cenggini dan ia masih relevan sehingga ke hari ini. Namun untuk tampak lebih menyerlah, Punk Ching telah mengantikan keseluruhan kit badan asal dengan kit Voltex yang lebih gorgon. Dari jauh dah mintak kita lari ke tepi. Termasuk dalam pakej ini adalah, komponen jenis karbon fiber untuk spoiler, hood, bonet belakang, serta sepasang cermin sisi bertelinga Mickey.

Satu lagi yang best tentang EVO ialah enjinnya. Macam-macam benda boleh buat, hingga mampu menjana kuasa yang berkali ganda. Bagi tujuan tersebut, Punk Ching telah menyerahkan kereta ini kepada adiknya Pone untuk dinaik taraf. Memang hari-hari bersidai kat workshop pun, maklumlah orang laut…

Kapasiti enjin ini dipertingkatkan dengan crankshaft 2.2-liter, yang telah melalui proses imbangan semula. Memandangkan komponen yang diperolehi bukan kit stroker yang lengkap, ia perlu dipadankan bersama conrod Brian Crower serta set piston CP 86mm. Di bahagian atas terdapat camshaft, spring injap dan retainer dari Tomei. Sebelum kedua-dua bahagian bercantum semula, ia dilapik sekeping gasket keluli dan diikat kemas menggunakan stud dari ARP.

Sistem pendesak mendapat turbin TD06 22G yang digantung pada manifold turbo kustom. Disertakan bersama sebuah wastegate Tial 44mm serta injap pelepas HKS SSQV bagi menghalang masalah balikan boost. Untuk proses sejukan pulak, ia kini dibantu sebuah intercooler dan paip sambungan kustom.

Memastikan jumlah bahan api yang mencukupi, bekalan petrol dihantar menerusi pam petrol Walbro 450lph, sebelum dipancit ke kebuk pembakaran menggunakan set injektor ID 850cc. Membetulkan kembali parameter yang terlibat, unit ECU asal kini ditala semula menggunakan perisian TephraMode Version 7.

 Laju-laju tak boleh berhenti pun pishang jugak. Jadi sistem brek Brembo asal, telah dicekapkan lagi dengan rotor dan pad dari Project U. Sistem gantungan diperkemaskan dengan set suspensi boleh laras HKS Hypermax Pro. Sementara bahagian rodanya, mengandungi rim Work Emotion 11R berukuran 18-inci, serta tayar Dunlop Sport Maxx GT dari saiz 245/45ZR-18.

Tidak seperti luaran, bahagian dalam agak tipikal seperti mana-mana siri CT9A yang pernah kita temui. Benda dah memang elok, nak bikin apa lagi. Komponen utama seperti dashboard, stereng, tempat duduk, panel pintu dan lain-lain, masih kekal di tempatnya. Yang dapat dikesan cuma tombol gear Sparco serta deretan meter 6-beradik dari Defi.

Selepas belasan tahun diperkenalkan, EVO VII kini mencapai usia matang dengan harga pasaran yang kian stabil. Nak kata murah sangat pun tak jugak, lagi-lagi bila melibatkan transaksi tunai. Tapi kalau ada yang masih berhajat, mungkin ini masa terbaik untuk mula memecah tabung…

 

SPESIFIKASI