Sejarah penuh kereta ini sebenarnya kurang jelas. Yang dimaklumkan, ia dibawa naik kapal oleh seseorang, lepas sayang nak tinggalkannya di seberang laut. Dah pakai kat sini tak lama mana, pastu bosan sebab payah nak bayar tol ngan parking. Disebabkan statusnya yang pelik lagi rare, ia segera bertukar tangan kepada mereka yang lebih memahami.
Nak ikutkan, kereta ni sama jer ngan model spesifikasi JDM atau Kah Motor. Cuma posisi pemanduannya yang kidal, menyebabkan ia sedikit istimewa. Kalau bawak pi gathering, pasti jadi tumpuan dan boleh menimbulkan perasaan jeles di kalangan pemilik lain. Kohado?
Zubir antara yang bertuah memiliki kereta spesel ini. Masa dapat dulu memang standard abis, sebelum ditokok tambah dengan komponen yang lebih sesuai. Untuk luaran, ia menerima hood J’s Racing, lip Mugen, cermin sisi Spoon serta lampu utama jenis projektor. Yang tercongek atas bumbung tu, merupakan sunroof milik Mazda RX7. Untuk ruang belakang pulak, ia telah disaratkan dengan lengan bawah dan bar subframe aloi Function 7, termasuk unit diffuser lubang-lubang pada bumpernya. Ikut trend semasa katanya…
Hiasan roda datang dengan rim Volk Racing TE37 beserta tayar gigit Toyo Proxes R888 bersaiz 195/55R-15. Satu lagi hal yang mengikut trend adalah, penggunaan Sticker Tire 3D pada dinding tayar, untuk menaikkan lagi serinya. Nasib baik kau lekat brand yang sama. Kalau pakai Silverstone tulis Toyo, memang gua tarbiah sampai suboh.
Enjin asal sangatlah lemau adoi pun. Standard D15B SOHC yang langsung tak dipandang oleh masyarakat modifikasi. Kesian dia, main campak-campak jer kat tepi stor. Nak terus lempor buang rasa sayang. Sebagai ganti, Zubir order halfcut B16B Type R yang lebih ranum.
B16B boleh disifatkan sebagai enjin VTEC paling berkuasa dalam kelasnya. Blok tinggi macam B18C, tapi crank saiz B16A. perkara lain seperti nisbah mampatan, bentuk piston, jangkauan rpm dan bukaan VTEC, semuanya tinggi-tinggi belaka. Kalau layan standard sekalipun, dah boleh buat kau tersengeh sorang-sorang.
Atas dasar tersebut, enjin baru ini tidak diusik sewenang-wenangnya. Nak dapat sekarang pun bukan senang. Apa yang Zubir buat, lebih kepada peningkatan komponen luaran macam paip ram kustom, throttle body S90, regulator Sard, kabel pencucuh 9mm, radiator aloi, termasuk unit ECU Hondata untuk memudahkan pengaturcaraan semula.
Perubahan lain lebih bersifat kosmetik. Main kaler-kaler, sorok-sorok wayar, termasuk menghilangkan komponen yang kurang perlu. Kotak gear S4C yang datang bersama enjin, kemudiannya dilapik set klac Ogura Super Single, untuk memaklumkan kepada penduduk kampong yang Zubir sudah balik…
Yang betul-betul pelik tentulah di bahagian dalamnya. Bukan takat bentangan dashboard, kesemua komponen berkaitan turut datang dalam keadaan terbalik. Panel pintu, suis kunci, tuas gear, macam-macam lagilah. Kalau jenis tak biasa bawak macam kita, boleh tersasul jugak dibuatnya.
Disebabkan komponen-komponen ini tak sama macam model JDM, hampir kesemuanya perlu kekal dengan kaler kelabu standard. Kena ada yang rosak, pedih jugak dibuatnya. Mujur kerusi bucket Konic dan AAR berwarna merah, membantu menyelamatkan keadaan. Lain-lain yang turut digunakan termasuklah tuas gear K-Tuned, harness Takata, meter Defi, RSM Apexi, serta sebuah X-bar kustom pada cermin belakangnya…
SPESIFIKASI
- Nama – Muhammad Zubir
- Pengeluar – Honda
- Model – Civic EG8
- Tahun – 1995
- Engine asal – D15B
- Modifikasi Enjin – B16B, paip ram kustom, throttle body S90, regulator Sard, kabel pencucuh 9mm, radiator aloi, ECU Hondata
- Transmisi – Kotak gear S4C Civic EK9 Type R, klac Ogura Super Single
- Ekzos – Ekstraktor Hi-Tech, paip kustom, muffler Trust
- Luaran – Hood J’s Racing, lip Mugen, cermin sisi Spoon, lampu utama projektor, sunroof Mazda RX7, diffuser bumper, lengan bawah & bar subframe Function 7
- Suspensi – Tein
- Brek – Standard
- Rim & Tayar – Volk Racing TE37 15-inci & Toyo Proxes R888 195/55R-15, Sticker Tire 3D
- Dalaman – Bucket Konic & AAR, tuas gear K-Tuned, harness Takata, meter Defi, RSM Apexi, X-bar kustom
- Bengkel – MZ Tuner, Melaka