SAN ALI 76

Bagi menaikkan imejnya di mata dunia, pihak Daihatsu telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat talaan DeTomaso Modena Spa yang berpengkalan di Itali. Ia untuk melahirkan sebuah model edisi khas, khusus untuk siri Charade G11. Kerjasama ini kemudiannya dipanjangkan menerusi pembinaan sebuah model prototaip rali dipanggil Charade DeTomaso 926R yang langsung tak masuk akal. Namun akibat risiko kemalangan yang terlalu tinggi, Kejohanan Rali Dunia Group B telah diharamkan dan projek 926R terpaksa ditamatkan sepenuhnya.

Kira-kira 6 tahun selepas itu, Daihatsu memperkenalkan pula model generasi keempat Charade G200 yang menawarkan saiz badan lebih besar. Sesuai dengan trend hot hatch yang wujud ketika itu, kedua-dua pihak kembali bekerjasama untuk menghasilkan varian berprestasi dikenali sebagai Charade GTi DeTomaso. Disebabkan kehadirannya yang lewat berbanding pesaing lain, ia tidak memberi impak yang besar seperti yang mereka harapkan.

Kepada yang perasan, kereta milik San Ali ini pernah dipaparkan pada bulan September yang lalu. Memandangkan ini satu-satunya model Charade GTi berpintu dua yang pernah dikenalpasti, ia perlu disiarkan semula sebagai wakil kepada keluarga Daihatsu. Katanya ada sebijik lagi yang baru mendarat. Kalau betul bagai dikata, ada jugak ler kawan nak ajak borak…

Kisah kereta ni bermula apabila seorang kawan, berhajat benor nak beli Charade Espri G200 sebagai kereta mainannya. Cari punya cari, terjumpalah sebijik nun jauh di Labuan. Disebabkan kondisi dalam gambo nampak cun sesangat, diusahakan juga menyeberang Laut China Selatan untuk melawat-lawat. Sampai di sana alangkah terkejut apabila menyedari, ia sebuah model berpintu dua yang asli. Masa dalam gambo tak nampak sangat. Lepas diperiksa dan disahkan statusnya, ia segera dibawa pulang ke bumi Ganu dengan senang hati.

Ketibaan kereta ini segera mendapat perhatian peminat hot hatch seantero Malaya. Sampai giler kejap dibuatnya. Ramai yang cuba merisik, termasuk San Ali sendiri. Lepas makan tahun kena pujuk, ia akhirnya dijual kepada beliau pada harga sekali ganda. Tak kisahlah, benda hampir mustahil nak jumpa. Kalau kena gayanya, ia mungkin boleh jadi pelaburan yang bijak.

Di tangan San Ali, kereta ini dijaga bagai menatang minyak yang penuh. Hampir setiap inci badannya telah diteliti semula. Untuk luaran, ia kekal dengan kit badan DeTomaso yang kita kenali. Satu-satunya perubahan yang dibuat adalah, penempatan unit sunroof di bahagian bumbungnya.

Kedudukan kereta direndahkan dengan set suspensi boleh laras dari GAB. Sistem hentian bagaimanapun kekal standard memandangkan ia sudah dilengkapi brek jenis cakera untuk depan dan belakang. Di bahagian roda pulak tersemat set rim 16-inci Advan RG, yang dipadankan bersama tayar Falken Ziex berukuran 205/45R-16 setiap satu.

Satu lagi perkara menarik yang terdapat pada kereta ini ialah, persembahan ruang enjinnya cukup kemas dan menarik. Didatangkan dengan enjin HD-E berkapasiti 1.6-liter, ia dicantikkan semula menerusi kerja-kerja kemasan yang sangat teliti. Macam hidup pakai wifi pulak, sampai satu wayar pun jumpa. Kena ada masalah, hanya pomen asal jer tahu mana puncanya.

Menyedari ia makin kepupusan, San Ali bertindak bijak untuk tidak melakukan sebarang modifikasi berat ke atas enjin ini. Biarlah standard pekak, janji lawo merecik. Buat masa ini, ia hanya diberi unit regulator Sard, kabel pencucuh Ultra dan radiator aluminium D&D, sebagai komponen tingkat prestasi.

Sudut dalaman juga berkeadaan standard. Apa yang kelihatan merupakan komponen yang sering diburu peminat Charade lain seperti tempat duduk Recaro, meter utama, trim karbon dashboard, burger berspeaker, rak majalah dan karpet dasar merah. Yang takde cuma stereng Nardi Torino DeTomaso, yang digantikan dengan stereng Momo Daihatsu.

Kadangkala faktor bukan murah-mahal yang menjadi ukuran, tapi juga rarity yang melayakkan ia bergelar selebriti. Contohnya kereta ini. Modifikasi yang dilakukan mungkin tak banyak mana. Tapi masih disegani kerana statusnya yang tersendiri…