REMY D’BETENG

Apa tujuan sebenar membeli kenderaan jenis trak pikap? Senang nak angkut barang katanya. Boleh isi sayur, isi ketam, isi baja, isi simen, nak isi baiya masuk site pun boleh. Namun dengan perkembangan teknologi yang semakin canggih, kegunaan trak pikap nampaknya mula berubah. Ia bukan lagi sebuah lori kecik yang berfungsi memikul beban, tapi juga boleh bertindak sebagai kenderaan harian yang sangat praktikal.

Sesetengah pengeluar menggelarkan kenderaan jenis ini sebagai ‘ultimate lifestyle vehicle’. Nak tolong terjemah takut buruk pulak bunyinya. Secara ringkas, ia merujuk kepada kepelbagaian fungsi yang ditawarkan, sama ada untuk kegunaan lasak mahupun memenuhi keperluan mereka yang berkeluarga.

Contohnya model D-Max generasi kedua nih. Pengenalannya pada tahun 2013, memberi impak yang cukup besar dari segi corak milikan trak pikap di negara ini. Ramai yang angkat kaki dari model saingan dan memilih model terbaru ini sebagai ganti. Bukan saja encem, tapi juga kerana reputasinya yang baik dari segi ketahanan dan penjimatan bahan api. Kalau satu tank boleh belasah sampai lebih 1000km, camna yang lain nak lawan?

Remy juga memilih model ini sebagai kenderaan utamanya. Mengusahakan sebuah restoran di Kemaman, menguatkan lagi sebab mengapa ianya dipilih. Namun akibat pengaruh tomyam yang kuat, rupanya yang standard gagal dipertahankan. Bermula dengan penukaran facelift depan menggunakan komponen milik MU-X yang lebih agresif, sebelum ditambah hood dan spoiler jenis karbon fiber dari Monza.

Dengan sukacitanya, Remy kemudian telah merendahkan kedudukan trak pikap ini pada paras yang lebih sesuai. Depan pakai set suspensi boleh laras Winner, manakala kedudukan leaf spring belakang perlu dialih ke bahagian bawah axle. Bila dah rendah melepek, mengekalkan rim standard nampak tak belenlah pulak. Maka ia telah disarungkan dengan rim Volk Racing TE37 bersaiz 19-inci, bersama tayar nipis Achilles ATR Sport berukuran 275/35ZR-19. Itu pun nampak kecik. Ni kalau ajak ke site binaan, konpom serender awal.

Keadaan ruang dalaman hampir tidak diusik. Lagipun tempat duduk yang dibekalkan oleh Isuzu, diakui sudah cukup empuk dan selesa. Begitu juga dengan bentangan papan pemuka dan komponen-komponen lain. Apa yang Remy sediakan, lebih kepada gajet pemantauan iaitu sebuah meter tekanan blower Auto Meter serta unit ECU-Shop Monster Gauge.

Seperti yang telah dimaklumkan, Isuzu mempunyai reputasi yang sangat baik dalam membina enjin berketahanan tinggi. Tengok ajelah kenderaan yang diorang bikin, semuanya jenis trak dan lori. Malah, ia juga berkait dengan kemampuan enjin i-TEQ pada D-Max generasi terdahulu, yang banyak mendominasi perlumbaan drag diesel sebelum ini.

Kepakaran tersebut digunakan sebaik mungkin, untuk menghasilkan enjin D-Max generasi baru. Dibekalkan dengan turbo IHI RHV4 jenis VGS, enjin sebesar 2.5-liter ini mampu menghasilkan kuasa sekitar 136PS serta tork sekuat 320Nm. Dalam bahasa yang lebih mudah, sebenarnya taklah kuat mana. Dan ia sudah ketinggalan berbanding apa yang ditawarkan oleh pesaing masa kini. Sakit hati je kan?

Nak tak nak, enjin ini perlu ditala semula pada tahap yang optimum. Untuk sistem turbo, ia kini dipastikan lebih efisyen hasil penggunaan penapis udara open pod HKS serta set paip aloi dan intercooler dari HPD. Soal penjimatan bahan api tidak lagi terpakai di sini apabila kotak ECU asal dihubungkan kepada unit pengurusan Alpha Tech Like, yang berfungsi mengawal tekanan pada sistem commonrail dan injektor.

Bagi menghasilkan respon lebih cemerlang, tindakbalas throttle dikawal menggunakan unit Boost Speed juga dari Alpha Tech. Memastikan asap hitamnya keluar lebih lawas, sistem ekzos digantikan dengan set ekzos kustom buatan M’s Thailand. Garing sungguh bunyinya. Duduk ujung traffic light pun dah boleh perasan…

 

 SPESIFIKASi