RED ARROW

Ini antara model yang jarang kita lihat melata tanpa sebab. Kebanyakan pemilik cuma menggunakannya sebagai kereta hujung minggu dan hanya akan ditayangkan bila perlu. Ada buat makan-makan baru timbul. Kalau takde yang ajak, luang masanya banyak dihabiskan di bengkel dan garaj rumah.

Bukan sebab susah nak bawak, tapi runsing memikirkan tentang risiko keselamatan. Nak kasi siap, bukan sikit modal. Belum lagi kira jumlah masa yang diperuntukkan. Buatnya sagat dibucu longkang, memang masaklah longkang tu dikerjakan.

Yang pasti, Integra DC5R milik Ash ini juga tidak dibawa keluar sewenang hati. Itu pun selepas dipadankan dengan kit badan lengkap J’s Racing, bagi membezakan dirinya dengan kawanan lain. Ia meliputi komponen utama seperti bumper, lip dan fender, termasuk komponen gentian karbon untuk skirt keliling, canard, hood dan spoiler GT. Bagi membentuk keseragaman kepada fendernya yang kembang, ruang roda belakang menerima sepasang arch tambahan dari Ings.

Seperti peminat prestasi K Series lain, enjin kereta ini turut dipertingkatkan pada kadar yang memberangsangkan. Ia dimulakan dengan padanan blok K24, yang kemudiannya menerima pelbagai kompoen yang diperlukan. Antaranya penggunaan set piston Wiseco 86mm, conrod Eagle, serta galas enjin ACL Race. Di ruang atas pula menempatkan sepasang camshaft Skunk2 Stage III, termasuk set injap dari Supertech.

Suapan udara diterima daripada penapis udara Blitz SUS. Ia akan menyelinap masuk menerusi unit throttle body Skunk2, yang dilekatkan kemas pada manifold kemasukan Skunk2 Pro Series. Bekalan petrol kemudian dihantar ke rel bahan api K-Tuned, sebelum dipancit ke kebuk pembakaran oleh set injektor RDX 1000cc. Untuk seliaan lebih tepat dan optimum, perjalanan enjin ini seterusnya ditala menggunakan unit ECU Hondata K-Pro V4.

Keseluruhan sistem ekzos dibina secara kustom, sebelum dihubungkan kepada muffler perang Skunk2 Mega Power. Memastikan hantaran kuasanya tidak sia-sia, bahagian kotak gear kini mengandungi unit LSD dari Cusco, sebelum dilapik set klac OS Giken Super Single.

Acah laju tapi takleh kawal pun tak guna jugak. Maka sektor pengendalian perlu dinaik taraf pada kadar lebih seimbang. Selain set suspensi Ohlins DFV yang agak premium, Ash turut mengukuhkan struktur casis hasil palangan bar J’s Racing dan Ultra Racing di bahagian tertentu. Kuasa hentian masih menggunakan kaliper Brembo asal di bahagian depan. Sementara ruang rodanya menempatkan rim Volk Racing CE28, yang dibalut pada tayar Hankook RS3 bersaiz 235/45R-17.

Memandangkan Ash tak minat nak kasi orang tumpang, sebahagian ruang kokpit telah disilang dengan set roll cage dari Cusco. Kemudian ada sepasang tempat duduk Recaro SR6 berwarna merah, meter tambahan Defi, serta tuas gear K-Tuned. Sesuai dengan temanya, sedikit sentuhan komponen J’s Racing boleh dilihat pada stereng, tombol gear, serta bar di bahagian boot belakang.

Trend milikan kereta hari ini, tidak lagi meletakkan model sport coupe sebagai pilihan utama. Kebanyakan pengeluar pun tak minat nak buat dan hanya memberi tumpuan kepada model senang jual. Hal ini bukan saja meletakkan Integra DC5R pada kelas tersendiri, tapi juga menjaga nilainya dalam pasaran…

SPESIFIKASI