Proton Commerce Sasar Luluskan 20,000 Pinjaman Tahun Ini

Cabang Kewangan Proton Holdings Bhd., Proton Commerce Sdn Bhd (Proton Commerce) menyasarkan 20,000 pinjaman diluluskan tahun ini selepas pembuat kenderaan tempatan itu mencatatkan jualan terkumpul tertinggi pada suku pertama tahun 2021 bagi tempoh sejak Mac 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Commerce, Mooi Fi Phang berkata, pihaknya yakin dapat meningkatkan lagi jumlah pinjaman pada suku kedua 2021 selepas jumpah pinjaman yang diluluskan pada suku pertama meningkat sebanyak 42.3 peratus.

“Namun, pasaran sewa beli mungkin mengalami cabaran pada separuh kedua tahun ini kerana insentif cukai jalan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara akan berakhir pada Jun. Oleh itu, pasaran mungkin mengalami tempoh penyesuaian selepas ini,” katanya.

Menurut Proton, walaupun industri kewangan terjejas pada 2020 akibat pandemik COVID-19 dan moratorium pinjaman bagi meringankan beban peminjam, namun Proton Commerce berjaya meluluskan 14,189 pinjaman.

Mooi berkata sebanyak 80 peratus pelanggan Proton Commerce memilih pelan penjaman sewa beli selama sembilan tahun dan jumlah pinjaman yang terjejas pula tiga kali ganda lebih rendah daripada purata industri.

“2020 adalah satu tempoh sukar bagi industri dengan institusi kewangan perlu membuat penyesuaian kepada peruntukan kerugian program moratorium selama enam bulan yang diumumkan Bank Negara Malaysia.

“Bagi Proton Commerce, kestabilan kewangan bagi jumlah pelanggan kami bermakna hanya segelintir yang memilih untuk memohon moratorium seterusnya dan susulan penghapusan peruntukan itu bagi tahun ini, kami berharap dapat menyumbang keuntungan yang baik,” katanya.

Beliau berkata Proton Commerce turut mendapati berlaku perubahan dalam demografi pelanggannya. Umur pembeli kenderaan Proton semakin menurun, dan ia menunjukkan barisan produk semasa berjaya menarik minat golongan muda di Malaysia.

Pada 2018, sebanyak 5,410 pinjaman telah diluluskan dan jumlah itu meningkat hampir sekali ganda kepada 10,668 pinjaman pada tahun seterusnya.

Sumber : BERNAMA