PERSONA MITSUBISHI EVO 7

PERSONA MITSUBISHI EVO 7

Jumlah jualan Mitsubishi besar mana sangatlah kalau hendak dibandingkan dengan agresifnya Hyundai atau Volkswagen dan Toyota yang bersaing merebut tempat pertama.

Mitsubishi seperti tidak peduli pun dengan apa yang berlaku. Janji boleh buat kereta yang power, 4WD, turbo dan cukup sesuai untuk mentekadarah minyak. Kuasa sebuah Evo terus diikuti oleh peminat kereta sports murah di seluruh dunia. Kereta ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Padahal dulu, haram saya tak minat langsung dengan keluarga Evo 7-10.

Tetapi apabila ditakdirkan Mitsubishi tidak lagi mahu menghasilkan Evo selepas Evo 10, tiba-tiba saya rasa terpanggil untuk mengetengahkan kereta ini. Saya sebenarnya pernah memiliki sebuah Evo 7. Rupa-rupanya memang sedap betul Evo 7 ni.

Mana nak cari sedan yang karekter pemanduannya macam sebuah kereta keluarga, tetapi kuasa boleh bawa berlumba? Anda tidak akan silap membelinya kerana ia sebuah sedan empat pintu dan butnya cukup besar untuk balik kampung. Cuma masalah kereta begini ialah pinjamannya susah dan tidak ekonomikal kalau hendak dipandu setiap hari.

Teknologi yang dipercayai datang dari jurutera syarikat buat kapal terbang perang dunia ini bermula pada penghujung 1980-an apabila Mitsubishi memberi fokus kepada kejuaraan rali dunia. Dari situ, lahirlah jentera Evo 7 yang merupakan versi homologasi yang dijual di pasaran Jepun. Evo I sampai 6 memang ada di Jepun sahaja. Maka tidak hairanlah jika ia menjadi model yang cult sekarang.

Evo 7 ialah model produksi massa. Maksudnya, ada berbagai spesifikasi yang dieksport ke seluruh dunia. Barulah orang Amerika merasa nak pandu Lancer Evolution 4WD. Tidak terkecuali apabila pengimport parallel di Malaysia membawa masuk kereta ini sekitar tahun 2000. Salah satunya dibeli oleh Acat.

Benda pertama yang ditukar sudah tentulah sport rim. Rim pilihan Acat adalah jenis offset liar iaitu et22 dan lebar 9 inci. Pilihan yang senang ialah dari Rota. Rota ialah rim buatan Filipina yang sangat popular di Amerika kerana ia meniru 100% reka bentuk rim-rim Jepun dengan pilihan offset yang pelbagai. Rim 18 inci warna gangsa ini dipakaikan dengan tayar Falken Ziex 245/40/18.

Enjin 4G63 asal kereta boleh dikatakan tidak berapa diusik. Cuma turbonya digantikan dengan HKS GT3037. Selain aksesori seperti blow-off HKS, wastegate Tial, penapis udara HKS dan radiator Koyo. Ekzosnya satu set dari tengah sampai belakang berjenama Trust. Kotak gear dipasangkan dengan klac HKS twinplate dan LSD Cusco.

Suspensi asal Evo 7 memang paling sedap dibuat untuk kereta ini. Tidak terlalu lembut atau keras. Namun dilemanya, ia tinggi macam nak pergi rali. Kalau dipadankan dengan rim Rota, memang buruk rupanya. Jadi, Acat telah menggantikannya dengan set suspensi boleh laras daripada TEIN monoflex. Breknya pula digantikan pad Endless.

Bahagian dalaman kereta standard saja kecuali meter Defi yang bersusun di atas papan pemuka. Pemain JDM diganti dengan set Pioneer. Sementara beberapa peralatan kecil macam APEXi RSM, timer APEXI dan boost controller Greddy Profec Type S yang datang bersama suis scramble boost diikat pada stereng. Sesuai digunakan ketika kecemasan.

Bahagian luar Evo 7 hari ini banyak yang diubah suai jadi Evo 9. Tetapi Acat memilih untuk mengekalkan penampilannya. Hanya bonet dan lips Varis yang ditambah. Lampu depan dan belakangnya spesifikasi MR.

Pada usia Evo 7 yang sudah mencecah 10 tahun, apa yang dapat saya simpulkan ialah jentera ini tetap ada tarikannya yang tersendiri. Mungkin susah nak dapatkan pinjaman, tetapi kalau anda mampu dan mahukan kereta keluarga yang berbaloi, Evo 7 ialah pilihan tepat.

 

SPESIFIKASI

 

Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ