Perodua QV-E akhirnya diperkenalkan sebagai kenderaan elektrik pertama buatan Malaysia, ditawarkan pada harga RM80,000 (tidak termasuk insurans dan bateri). Model ini menjadi sebahagian daripada agenda nasional untuk membangunkan ekosistem EV yang lebih mampan, dan dihasilkan di fasiliti baharu Perodua, Smart Mobility Plant. Dengan pelaburan pembangunan RM800 juta, QV-E menjadi langkah serius Perodua menuju mobiliti masa depan.
Menurut Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, pengeluaran awal QV-E berada pada kapasiti 500 unit sebulan dan akan meningkat kepada 3,000 unit menjelang suku ketiga 2026. QV-E dikuasakan bateri Lithium Iron Phosphate 52.5kW dengan jarak sehingga 445km (NEDC), bergantung kepada gaya pemanduan, suhu dan keadaan jalan.
Antara ciri paling menarik ialah sistem keselamatan terbaharu iaitu Child Presence Detection. Teknologi ini mampu mengesan pergerakan dan tanda vital seperti bunyi nafas di tempat duduk belakang, serta memberikan amaran jika kanak-kanak atau haiwan peliharaan tertinggal dalam kereta. Sistem ini turut berfungsi walaupun objek dilitupi selimut atau fabrik lain.
Perodua menegaskan bahawa setiap ciri dalam QV-E dibangunkan melalui kajian menyeluruh oleh Jabatan R&D mereka, merangkumi fungsi moden, keselamatan canggih dan keselesaan pemandu. QV-E digambarkan sebagai simbol kerjasama rakyat Malaysia dalam merealisasikan reka bentuk dan kejuruteraan automotif elektrik buatan tempatan.
Perodua turut memperkenalkan konsep pajakan bateri Battery as a Service, dijual berasingan daripada kereta, sebagai penyelesaian kepada kebimbangan pemilik EV. Melalui konsep ini, Perodua menawarkan jaminan bateri sepanjang hayat. QV-E hadir dalam dua warna iaitu Ice Blue dan Caviar Grey dan hanya tersedia di cawangan Perodua terpilih, dengan senarai spesifikasi penuh disertakan bersama siaran media rasmi.