PERDANA PERANG

Di kalangan penggiat sukan pecut, model Perdana bukanlah pilihan yang sesuai untuk digunakan sebagai jentera perang. Kalau berat pun macam lori 2-tan, baik main pakai Satria kontot jer. Dah tentu-tentu boleh caras berkilo-kilo.

Itu jalan mudah. Tapi bagi masyarakat Perdana yang sudah lama bergelumang dengan dunia kelajuan, mereka juga inginkan ruang untuk bergiat dalam sukan ini. Asyik tengok orang jer menang. Sekali sekala tengok anak gajah ni meneteskan air mata pesaing lain pun menarik jugak.

“Hak bermain hak kami,” jerit Arol dan rakan-rakannya, sewaktu sibuk berdemo depan dataran tempohari. Okey gua tipu…

Membolehkan Perdana beraksi seperti jentera perang lain sebenarnya bukanlah sesuatu yang mustahil. Cuma sesetengah siri perlumbaan yang dianjurkan, tidak menawarkan kategori yang sesuai. Kalau bikin ringan-ringan, dah tentu langsung tak boleh cari makan. Sebagai penyelesaian, ia perlukan susu formula yang lebih padu khususnya di bahagian enjin dan sistem pacuan.

Asasnya menggunakan enjin 4G63T dari EVO III, yang dibina cukup kemas oleh Ajak Rev Speed. Bagi memastikan ia mampu menahan desakan boost yang mendadak, bahagian dalaman enjin perlu diperkuatkan semula menerusi pemasangan beberapa komponen yang sesuai. Antaranya, piston Wiseco 87mm, conrod Manley 150mm, serta set bearing enjin dari Clevite. Di ruang kepala silinder pulak ditempatkan sepasang camshaft HKS 272°, spring injap BC, termasuk cam pulley boleh laras dari Works Engineering.

Sistem pendesak antara yang memainkan peranan paling penting. Berbekalkan siput Garrett GT35/82, ia ditenggekkan pada sebuah manifold turbo kustom, beserta sebuah wastegate Turbosmart Pro-Gate 50. Ia dihubungkan dengan paip sambungan rekaan Jeck Custom, terus ke intercooler gabak milik Nissan Skyline. Lebihan boost yang terbentuk, seterusnya dilepas keluar menerusi injap pelepas Tial.

Termasuk dalam hal ini ialah, penggunaan sistem pendesak kedua jenis Nitrous Oxide System (NOS) dari ZEX. Molekul N2O yang terkandung dalam sistem ini, akan ditembak masuk secara manual (dry shot) bagi menyejukkan lagi kadar boost yang diperlukan. Ia kemudian dibawa ke mulut throttle body sebesar 90mm milik Nissan VH45, yang diikat kemas pada manifold kemasukan kustom Edelbrock Victor X. Kata Arol, jangan gatal-gatal nak tekan. Sebab bila kedua-duanya berfungsi, ia mampu menghasilkan sehingga 680 ekor kekuda. Itu kalau marah sangatlah…!

Bekalan bahan api disampaikan oleh pam petrol Walbro 400lph, terus ke set injektor 1000cc. Memastikan tekanan yang betul pada rel bahan api Duratech, ia dilaras menggunakan unit regulator dari Sard. Sistem cucuhan dibantu pek koil dari MSD Ignition. Bagi mendapatkan pelarasan kuasa lebih sempurna, ia kini ditala oleh Mat Penang menggunakan unit EMS F-Con VPro dari HKS.

Tidak kurang pentingnya adalah binaan sistem pacuan yang mantop. Dengan jumlah kuasa yang ada, membiarkan ia bergerak dengan sistem pacuan depan sebetulnya amat merugikan. Nak handle pun susah, lagi-lagi dengan rim kecut 8-inci. Alang-alang nak kasi perang, sistem pacuan AWD dari Galant Eterna telah dimuat naik. Disebabkan longkang longshaft ngan breket nak ikat dah ada pada Perdana, kemasukan komponen ini tidak memerlukan lantainya dikopek sambung. Ia kemudian dihubungkan kepada kotak gear LSD EVO III, yang dilapik klac loceng jenis plet berkembar dari OS Giken.

Bahagian luar dibiarkan standard berkicap dengan kit badan Perdana V6 Enhanced. Ini jer yang paling semat dan selamat. Nak kasi elok, diberikan hood CF merah ala EVO, sunroof EVO, cermin sisi Ganador, termasuk cermin belakang berwiper, spoiler dan reflektor dari Galant Eterna. Nampak tayar licin Hoosier pada rim forged Rays MS-01F tuh? Yang ni guna masa nak perang jer. Kalau pakai hari-hari, mau bersilat dalam hujan dibuatnya.

Seperti luar, ruang dalaman juga tidak diusik tanpa usul periksa. Kalau tidak kerana sistem ejos bulohnya, ia mungkin masih sesuai untuk menjalankan tugas sebagai sebuah sedan keluarga. Selain salinan komponen Perdana V6, Arol turut menggantikan tempat duduk depan dengan sepasang Recaro EVO VII, papan pemuka Galant Eterna, juga stereng Momo Mitsubishi. Tidak ketinggalan deretan meter tambahan dari Works Engineering, serta unit RSM Apexi untuk tujuan pemantauan. Nampak botol pepel yang bersimpuh kat belakang tempat duduk pemandu tuh? Rupa nilah ‘bantal’ NOS yang sebenar!

Bersama kereta ini, Arol sebenarnya telah meletakkan benchmark yang sangat tinggi untuk pemilik Perdana lain. Bukan saja dari segi modifikasi, tapi juga catatan masa yang mampu dilakukan. Ketika beraksi dalam perlumbaan drag MUSC Kulim baru-baru ini, ia muncul selaku juara dalam kategori 4WD Pro Street, dengan catatan masa 9.3 saat untuk jarak 305 meter. Okey sangat dah tuh. Sampai tercengang geng asap itam dibuatnya…

SPESIFIKASI