PAK ANDAM 911

Jika korang mengikuti siri perlumbaan rakyat seperti MSF, kelibat kereta yang berlumba dalam kategori Street Tuned ini pasti mudah dikenalpasti. Bukan takat kondisinya yang kacak bergaya, malah pemilihan model ini sendiri antara sebab mengapa ia mencuri perhatian ramai. Itu pun kalau jenis minat hot hatch JDM era 90-an lah…

Glanza merupakan varian tertinggi dalam keluarga Starlet generasi kelima, yang memang dituju khas untuk peminat kereta kecik berprestasi. Reputasinya sebagai mesin trek telah lama terbukti, khususnya dalam siri perlumbaan di Jepun. Sayangnya tak banyak yang pernah mendarat di sini. Kalau ada pun biasanya versi piang yang tak boleh dimajukan untuk bersiar-siar di malam minggu.

Walaupun berstatus trek, kereta ini takdelah rentung tak tentu pasal. Pemiliknya Zairi, masih mengekalkan hampir kesemua komponen luaran seperti kereta jalanan biasa. Standard pun dah ringan apa. Yang ditambah cuma arch roda kustom setebal 70mm serta unit spoiler GT di ruang belakang. Memastikan ia lebih menyerlah ketika beraksi, keseluruhan badan kereta telah dibalut dengan stiker rekaan kustom. Senang sket nak tacap.

Masalah kurang cengkaman ketika di selekoh, telah diselesaikan dengan set suspensi talaan FTuned Racing Suspension. Ia turut dibantu palangan bar-bar penting seperti bar strut depan Cusco, bar strut belakang Toyota, bar penstabil TRD serta rod pan hard Cusco. Begitu juga dengan kuasa hentian yang kini disumbangkan oleh set brek 4-pot Nissan Skyline R32 di bahagian depan. Bagi mematuhi peraturan perlumbaan, ia perlu menggunakan tayar Hankook Ventus RS4 bersaiz 195/50R-15 yang dibalut pada rim mangkok Enkei RPF1.

Kereta ini datang dengan enjin lagenda 4E-FTE secara standard. Namun dalam usaha mengejar podium, kapasiti yang ditawarkan sebenarnya tidak memadai. Sebab letih nak hambat kelompok depan, ia telah digantikan dengan enjin 5E-FHE, untuk memberi tujahan kuasa yang diharapkan.

Walaupun masih dalam keluarga yang sama, 5E-FHE hanyalah sebuah enjin NA berkapasiti 1.5-liter. Bagi mengolah semula kuasanya, Beberapa perubahan penting perlu dilakukan seperti penggunaan set piston mampatan rendah 4E-FTE, serta set galas enjin dari King Bearing. Bahagian atas kemudian dikacuk dengan kepala silinder 4E-FTE, yang turut dilengkapi camshaft 265° dari Speed Vision.

Tumpuan seterusnya melibatkan sistem pendesak. Tersemat pada manifold turbo itu adalah unit turbo TD04-09 kustom, yang diikat bersama wastegate Tial 38mm. Sebaik disejukkan oleh intercooler GReddy, boost yang terhasil akan dibawa ke mulut throttle body Super90 yang melekat kemas pada manifold kemasukan kustom. Lebihan boost yang tidak digunakan, kemudiannya akan dilepas keluar menerusi injap pelepas GReddy Type FV.

Penyampaian bahan api dibantu pam petrol Walbro yang menghantar bekalan ke set injektor 360cc. Jumlah tekanan pada rel, dikawal oleh unit regulator Sard. Untuk sistem nyalaan, unit distributor asal telah dimatikan dan diganti dengan koil individu K20. Bagi memastikan keupayaan enjin ini kekal pada tahap optimum, keseluruhan parameter kini ditala menggunakan unit ECU Adaptroninc E420D.

Hantaran kuasa ke bahagian roda diserahkan kepada kotak gear 4E-FTE, dengan ratio gear tersendiri. Ia turut dibantu set klac Ogura Racing serta unit LSD dari Cusco. Mengakhiri proses naik taraf enjin ini adalah binaan sistem ekzosnya, yang direka menggunakan paip kustom sebesar 70mm.

Bahagian kokpit kereta trek, biasanya tidak diambil cakna oleh kebanyakan pelumba. Sana rompong, sini lobang. Silap-silap sarang mak menti pun ada. Tapi mujur hal tersebut tak berlaku pada kereta ni. Walaupun tanpa karpet dan tempat duduk belakang, hampir kesemua panel utama masih utuh di tempatnya. Sebagai tambahan, bahagian tempat duduk diisi kerusi baldi Sparco Rev dan TRD untuk penumpang. Turut digunakan set roll cage akreditasi FIA, harness OMP dan Sabelt, stereng OMP, pedal Razo, tuas gear kustom, serta rangkaian gajet pemantau seperti meter boost Omori dan unit Defi ZD.

Dah masuk 3 tahun Zairi menyertai perlumbaan MSF. Kalau dulu takat ngendeng tepi-tepi, sekarang ni dah mampu pun jejak kaki ke podium. Nampaknya segala usaha yang dilakukan telah membuahkan hasil. Tahniah Pak Andam!