NIM 199

Bermula pada tahun 2001, Mitsubishi telah melakukan perubahan besar terhadap siri Lancer Evolution. Dari sebuah model homologasi lasak yang dibina dalam jumlah terhad, generasi Evo VII yang diperkenalkan kini berstatus sedan produksi dan turut dijual ke pasaran luar Jepun.

Keadaan ini berlangsung dalam tempoh masa yang singkat. Masuk tahun keempat, Mitsubishi telah memperkenalkan model Evo IX, generasi terakhir yang menggunakan casis CT9A. Seperti biasa, ia turut menerima penambahbaikan berbanding siri sebelumnya. Paling signifikan peningkatan bahagian enjin, yang kini dilengkapi sistem injap pemasa MIVEC untuk kerahan tenaga lebih efisyen.

Lepas katam mengkokak model Evo VI, Nim cuba mencari platform lebih segar bagi meneruskan minatnya dalam dunia modifikasi. Ingatkan dah insap, rupanya lagi menggila. Ketika itu, pilihan beliau merupakan sebuah Evo IX yang tentunya lebih maju dan moden. Kira uplah sket, perot pun makin sado. Seperti dijangka ia turut menjalani proses naik taraf, menerusi penggunaan komponen yang lebih sesuai. Baru boleh market!

Lancer Evolution IX merupakan model terakhir yang dilengkapi dengan enjin siri 4G63T. Sebagai langkah tingkat taraf, ia telah dirombak semula untuk menerima segala macam toyol yang sesuai. Antaranya penempatan kit stroker berkapasiti 2.3-liter, hasil penggunaan crankshaft Power Enterprise, serta conrod dan piston dari Jun. Bahagian kepala silinder yang sudah memiliki injap pemasa MIVEC juga telah ditambah baik, menerusi pemasangan camshaft Jun 280° dan set injap dari Ferrea.

 

Tumpuan seterusnya melibatkan sistem pendesak, yang kini dikuasakan oleh unit turbo kepala gajah Borg Warner EFR 8374. Ia digantung pada manifold turbo kustom yang turut memegang wastegate dari Tial. Bukan satu yer, tapi dua bagi menghalang pembentukan boost secara berlebihan.

Proses sejukan boost dibantu intercooler AMS yang lebih besar. Ia kemudian dihubungkan ke throttle body Super90, yang melekat kemas pada manifold kemasukan juga dari AMS. Jumlah boost dikawal oleh unit pengawal boost GReddy Profec B, manakala lebihan boost yang tidak digunakan akan dikitar semula oleh injap CRV yang berintegrasi pada badan turbo berkenaan. Takdelah membazir.

Peningkatan enjin ini perlu disertakan dengan suapan bahan api yang mencukupi. Menggunakan pam petrol Elixir 500, ia akan dihantar ke sebuah tangki surge yang mengandungi 2 lagi pam Elixir 500 di dalamnya, sebelum dibawa ke rel bahan api Sard. Suntikan ke kebuk pembakaran kemudian diserahkan kepada set injektor ID 2000. Manakala proses balikan dan kawalan tekanan diselia unit regulator dari Sard.

 Satu lagi komponen penggalak kuasa yang dipasang pada kereta ini adalah, kit suntikan water-methanol dari AEM. Ia bukan saja membantu mengurangkan suhu enjin, tapi turut menghalang situasi letusan pra matang ketika boost tinggi.

Kuasa letusan nampaknya tidak menggunakan sistem COP asal, sebaliknya diubah pakai unit CDI Autronic, koil nyalaan Evo III dan kabel pencucuh NGK R09, mengikut kaedah lama. Senang nak set katanya. Sebagai pelengkap, keseluruhan perjalanan enjin kini diselia sepenuhnya oleh unit pengurusan enjin Link G4 Extreme.

Selain kaler tular nardo grey, penampilan kereta ini turut diserikan dengan komponen gentian fiber di bahagian tertentu. Antaranya lip depan, sirip vortex, diffuser belakang, serta hood rekaan Monster Sport. Spoiler gedabak di ruang belakang telah ditanggalkan dan diganti dengan spoiler ekor itek bersama bonet gentian karbon juga dari Monster Sport.

Selari dengan kuasa barunya, sektor pengendalian telah dipertingkatkan dengan set suspensi Tein Circuit Master yang lebih premium. Memastikan ia mampu berhenti pada waktunya, sistem brek menggunakan kaliper Brembo 6-pot untuk depan dan 4-pot di bahagian belakang. Rim pilihan pulak jenis Enkei RPF1 berukuran 18-inci, yang dipadankan bersama tayar Achilles 123S dari saiz 265/35ZR-18.

Bahagian dalam tidak mengalami perubahan yang ketara. Dah memang Evo IX kot, nak tukar apa lagi. Yang kelihatan hanyalah unit paparan Defi ZD serta sebuah meter boost Defi Advance untuk bantuan pemantauan…