GURIN KAKUMI

Perasan tak kebanyakan kereta sukan masa kini, rata-rata berasal dari Eropah dan bukan lagi Jepun. Berapa kerat je pilihan yang ada berbanding dulu. Kecuali model berprestasi tinggi dengan harga ratus-ratus ribu, pilihan lain hanya melibatkan model-model terpakai yang kini telah mencapai usia belasan tahun.

Keputusan Nissan untuk tidak meneruskan platform S, memberi kesan langsung kepada model seperti Silvia. Orang sekarang pilih hybrid katanya, baru boleh jaga alam sekitar. Namun bagi peminat generasi baru seperti Chong, semua itu bukan penghalang untuk beliau merasai keseronokan yang mampu ditawarkan oleh model lincah ini.

Silvia S15 ini dibekalkan dengan enjin SR20DET yang mesra ubahsuai. Buat permulaan, ia telah dibina semula menerusi penempatan set piston forged Wiseco serta bearing enjin ACL Race. Bagi membetulkan semula nisbah mampatan, bahagian atas blok perlu dilapik gasket keluli Tomei setebal 1.5mm.

Sistem pendesak dijana turbo Garrett T3/T4 AR70 yang disangkut pada manifold turbo kustom. Ia turut memegang sebuah wastegate Tial, yang berfungsi meredakan tekanan pada perumah turbo. Sebaik disejukkan oleh intercooler Blitz JS, lebihan boost yang tidak digunakan akan dilepas keluar menerusi injap pelepas HKS Super SQV4.

Sistem bahan api hanya menerima sebuah regulator Sard untuk mengawal jumlah tekanan. Unit injektor 480cc asal juga sudah memadai. Bagi mengurus semula perjalanan enjin, ia kini ditala sepenuhnya menggunakan unit ECU Link G4+.

Umumnya, kereta ini boleh jadi macam-macam. Ia boleh digayakan mengikut minat pemilik memandangkan kedapatan lambakan komponen ubahsuai di pasaran. Untuk  kereta ini, ia kini dipadankan dengan kit badan kembang keluaran Vertex serta tambahan kompenen gentian karbon pada hood, lip depan dan difuser bumper belakang. Tidak ketinggalan penggunaan cermin sisi Ganador, lampu belakang kristal, serta kit salur udara Combat Eye dari Origin Labo yang menggantikan sebelah lampu utamanya. Paling menonjol penggunaan kaler spesel Lime Green dengan efek 3D, yang hanya dibancuh khas untuk kereta ini.  Ni kalau gatal gi tacap kedai lain, memang bersopak ler jadinya…

Sesuai dengan itu, bahagian roda juga perlu menggunakan rim lebih lebar jenis Gram Lights 57C6 berwarna Kakumi Pink. Nah, sekarang dah tahu mana datang nama Kakumi tuh. Ia dipadankan bersama tayar Yokohama Advan Neova dari bersaiz 235/45R-17. Kedudukan kereta kemudian disokong set suspensi boleh laras Tein Super Street. Manakala kuasa hentian mengandungi kaliper Brembo 4-pot di bahagian depan dan sepasang kaliper Nissan 2-pot untuk belakang.

Ruang dalaman didominasi sepasang tempat duduk Bride Vorga berwarna merah. Tidak ketinggalan pemasangan set roll cage dari Cusco untuk tujuan keselamatan. Kelihatan juga beberapa aksesori pilihan seperti stereng Sparco dengan hub NRG, juga tombol gear dari Nismo. Keperluan pemantauan pula mengandungi unit Apexi AVC-R, paparan gear Ultra, meter boost Apexi serta deretan meter Defi Advance BF di ruang tengah.

Usia bukan penghalang untuk model sport coupe seperti Silvia S15 ini, muncul dalam kawanan kereta sukan masa kini. Rekabentuknya yang mendahului zaman, menyebabkan ia kekal relevan sehingga hari ini. Janji pandai bikin dan faham tentang konsep yang ingin dibawa…