Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Open Road Asia Sdn Bhd (OPen Road Asia) telah menandatangani Perjanjian Usahasama Projek Pembangunan Litar Lumba dan Resort Bersepadu Open Road yang dikatakan bakal menjadi satu lagi tarikan pelancongan di Pulau Langkawi. Majlis yang diadakan di Wisma Darul Aman ini turut dihadiri Menteri Besar Kedah, YAB Haji Muhammad Sanusi Md. Nor.
Projek bernilai RM1.3bilion ini bakal dibangunkan di tanah seluas 183 ekar yang menghadap laut di Bukit Malut bukan sahaja menumpukan kepada litar sukan permotoran malah merangkumi beberapa projek lain termasuk hartanah kediaman, kedai-kedai jualan barangan mewah, hotel bertaraf lima bintang, pusat pengedaran kenderaan Empat-S, gudang penyimpanan kenderaan mewah dan banyak lagi.
Menurut pengasas dan penasihat Kumpulan Open Road, Datuk David Goh, projek ini dilihat sebagai penjana kepada ekonomi di Pulau Langkawi dan negeri Kedah juga Malaysia dalam masa 5 tahun lagi. Kehadiran para pengunjung luar dan dalam negara akan meningkatkan taraf ekonomi khususnya di kalangan penduduk tempatan sekaligus menempatkan Malaysia sebagai destinasi paling popular di Asia Tenggara.
Selain itu, pembinaan litar lumba ORIC (OPen Road International Circuit) sepanjang 5.8 km mengikut topografi Bukit Malut dan menjadi Nurburing The East. Litar Lumba ini juga bakal mencatatkan rekod dunia sebagai litar lurus pertama terpanjang di dunia dan juga merangkumi selekoh dan lengkungan mencabar dan penurunan bukit curam. Selepas litar ini berjaya disiapkan, ia bakal menjadi tumpuan dunia khususnya dalam dunia permotoran sekali gus menyediakan platform untuk pembangunan dan penyelidikan automotif dan sebagainya.