Mungkin sebab rupa Mitsubishi Lancer Evo 4 hingga Evo 6 nya yang garang dan lain daripada model Evo 1 hingga 3 yang selalu dikacau pihak berkuasa sebab disalah sangka dengan model Proton Wira. Maka Evo badan CK sering menjadi buruan peminat Evo di Malaysia.
Nak beli model original memang susah kerana ia agak rare di Malaysia. Kalau ada pun, harganya agak mahal. Sudah lah tak boleh buat pinjaman bank, nak buat kredit pun belum tentu lepas.
Ada juga peminat yang sukakan Evo, tetapi malas nak main gear, mungkin sebab lutut dah longgar. Memandangkan Evo ialah kereta homologasi rali, agak pelik dan tak kena dengan imej kalau Evo dijual dengan kotak gear automatik.
Hanya model Evo VII GT-A didatangkan dengan kotak gear automatik. Itupun sebab model Evo 7 dan ke atas ialah kereta produksi penuh, bukan lagi kereta keluaran terhad seperti model-model Evo sebelumnya. Begitulah juga kisah Evo X yang menggunakan kotak gear jenis klac berkembar separa auto SST.
Jadi nak buat macam mana? Anda buat macam Md. Noor dari Sri Gombak ini. Memandangkan agak susah dan mahal nak beli Evo yang asli, Md. Noor gigih mencari model Lancer CK untuk dijadikan kereta projek. Didatangkan dengan enjin 4G91 dan kotak gear automatik, kereta ini memang sesuai dijadikan bahan projek.
Sekarang cabarannya adalah untuk mendapatkan enjin 4G63 dengan kotak gear automatik. Nak beli half-cut Evo 7 GT-A macam mahal sangat, kemudian boleh tahan susah juga nak jumpa. Takkan nak guna enjin VR4 auto purba tu? Dah lama sangat, pastu mounting enjin semua lari.
Haa! Md. Noor dapat ilham setelah tengok geng-geng Perdana buat kereta mereka. Jawapannya terletak pada kereta Mitsubishi yang orang Malaysia lebih banyak jumpa di kedai half-cut berbanding atas jalan raya – Mitsubishi RV-R!
Mitsubishi RV-R yang dimaksudkan ialah daripada model keluaran tahun 1997, RV-R terakhir sebelum digantikan dengan model Airtrek. Kenderaan dengan konsep mini MPV itu didatangkan dengan enjin 4G63 ‘terbalik’, kotak gear automatik dan sistem pacuan empat roda sepenuh masa – kiranya macam konsep Subaru Forester.
Enjin ini bila dah jadi half-cut harganya agak berpatutan. Ini membuatkan Md. Noor memilih enjin tersebut untuk Lancer standard pekaknya. Ubah suai memasukkan enjin ini ke dalam chasis Lancer CK agak mudah kerana cagak enjin hampir sama, termasuklah cagak kotak gearnya.
Tetapi sudah tentu Md. Noor tak nak enjin ini kekal standard, sebab enjin 4G63 memang memanggil-manggil untuk diubah suai. Turbo standard enjin diganti dengan turbo TD06 daripada enjin Evo IX yang dimuat menggunakan manifold ekzos HKS.
Intercooler asal enjin RV-R ialah jenis top mount. Memang tak sesuai langsung kalau nak digunakan untuk chasis Lancer CK. Jadi Md. Noor menggantikan intercooler asal dengan intercooler jenis front mount yang berasal daripada enjin Lancer Evo III.
Paip-paip intercooler asal terpaksa ditukar dengan paip buatan custom yang dibina menggunakan keluli tahan karat. Pada paip intercooler dan intake udara ini juga Md. Noor memasang injap blow-off HKS SSQV serta penapis udara K&N.
Dari paip ekzos turbo tadi, Md. Noor menyambungkannya dengan paip ekzos jenis saluran terus berdiameter 2.5 inci. Ia kemudian diakhiri dengan peredam bunyi yang paling tak ganas pernah saya tengok dipasang pada kereta berenjin turbo. Sebabnya, dia tak nak kereta bunyi bising sangat.
Walaupun ekzos kurang macho, enjin yang dikawal dengan ECU jenis piggyback GReddy e-Manage sudah ditala penghasilan boostnya kepada tahap 1.8bar oleh pengawal boost HKS EVC. Saya boleh bayangkan pecutan kereta ni dari 0 – 100km/j menggunakan kotak gear auto dengan fungi tiptronic yang datang sekali bersama half-cut ini. Mesti berdecit-decit la tayar depan (kereta 2WD je, tak larat nak convert 4WD).
Memandangkan kuasa kereta dah tinggi, Md. Noor tak berlengah untuk menaik taraf sistem gantungan dan brek kereta. Lancer ini menggunakan satu set penyerap hentak OEM Lancer Evo VI untuk keempat-empat sudut kereta.
Spring asal Evo VI digunakan pada bahagian depan. Manakala di belakang, spring daripada Honda Accord SV4 digunakan. Nampak sangat pemiliknya mahukansebuah kereta yang selesa berbanding rasa macam naik kereta lumba.
Rim-rim Lancer ini kemudiannya diganti dengan rim Work Emotion CR Kai 17 inci yang dibalut dengan tayar Firehawk 225/45R17 berprestasi tinggi. Sistem brek, iaitu aksesori kereta yang paling penting dinaik taraf dengan sistem brek yang disalin daripada Lancer Evo IV.
Walaupun bukan buatan Brembo macam Evo V ke atas, brek OEM Mitsubishi itu masih mampu menjalankan tugasnya dengan baik. Mmemastikan Lancer ini mampu berhenti dengan pantas bila diperlukan.
Bab bodykit, antara banyak-banyak bodykit Evo, bodykit Evo IV ialah antara yang termurah, mungkin sebab rupanya yang agak ‘lembut’ berbanding bodykit Evo yang lain.
Untuk pemilik Lancer CK, bodykit Evo IV boleh dipasang secara plug n play tanpa sebarang pengubahsuaian pada badan kereta. Md. Noor menyalin bodykit Evo IV lengkap kepada Lancer CK miliknya.Termasuklah penggilap cermin belakang yang menjadi trademark kepada semua model Lancer Evo dulu dan kini (malangnya bukan selamanya sebab produksi Evo sudahpun ditamatkan, hmmm…).
Di bahagian dalam, Lancer CK ini dihiasi dengan aksesori JDM asli. Misalnya, papan pemuka Lancer CK GSR yang datang dengan pengawal pendingin hawa digital. Stereng asal diganti dengan stereng Momo Lancer Evo IV. Manakala tempat duduk ni disalin sepenuhnya dengan tempat duduk Recaro OEM Lancer Evo V.
Agak pelik apabila meter boost dan RSM dari A’PEXi disorok di dalam kotak penyimpan barang, mungkin tak nak bagi bakal pencuri tengok kot. Dalam kotak itu juga pengawal boost HKS EVC disorok.
Nah! Sekarang Md. Noor berjaya merealisasikan cita-citanya – Lancer Evo CK dengan kotak gear automatik. Kau ade?