KRONI TIGA R

Tahunnya 1998, bila mana Proton mengambil keputusan untuk memperkenalkan varian GTi dalam keluarga Satria. Comey nau-nau, dan ia dihasilkan dengan kerjasama Mitsubishi, termasuk Lotus yang ketika itu baru saja diambil alih. Ramai yang memujinya, malah turut diterima baik di pasaran luar negara.

Senario yang sama juga berlaku di sini. Biarpun sudah menjangkau usia 20 tahun, model GTi masih menjadi rebutan di kalangan peminat tegar Satria. Tak payah buat apa dah. Kalau niat nak layan standard, memang inilah calon paling sesuai.

Itu orang lain. Bagi kaki kereta seperti Abeyoh, Satria GTi ini hanya sekadar platform untuk melunaskan minatnya dalam dunia ubahsuai. Lepas makan tahun menghadap rupa yang sama, ia telah dilayangkan dengan kaler hitam legam, sekaligus mengubah rupanya menjadi Satria R3. Baru ada peningkatan!

Nak kasi lebih menyerlah, bahagian hood, fender dan cermin sisi telah digantikan dengan komponen gentian karbon. Kemudian ada spoiler, getah sisi, juga jaluran stiker badan dari R3. Yang belum siap cuma bahagian lip depan, menyebabkan ia nampak agak terjongket dan kurang labuh. Demo nok gi cedong ke Abeyoh…

Hal ini juga disebabkan oleh saiz roda yang dipilih. Tanpa rasa bersalah, Abeyoh telah memadankan rim Volk Racing TE37 berukuran 17-inci bersama tayar Yokohama Advan Neova AD08 dari saiz 235/45ZR-17. Sudut pengendalian menggunakan set suspensi boleh laras jenama HWL. Manakala kuasa hentian dibantu set brek 4-pot Mitsubishi GTO, serta brek standard Evo III untuk belakang.

Satria GTi dibekalkan dengan enjin bersesaran 1.8-liter yang agak berpotensi. Cuma ia tidak memiliki tujahan graviti yang boleh mengukir senyuman. Sebagai penyelesaian, enjin tersebut telah direhatkan dan diganti dengan siri 4G63T Evo III yang padu terok. Memandangkan enjin baru ini belum mendatangkan masalah, bahagian dalamannya terus dikekalkan seperti kondisi asal.

Tumpuan hanya diberikan kepada sistem pendesak, untuk penghasilan kuasa lebih efisyen. Unit turbo TD05H asal disangkut pada manifold turbo kustom, yang turut memegang wastegate dari Tial 38mm. Sementara proses sejukan dibantu intercooler dan paip sambungan kustom. Sebaik melepasi unit throttle body Super90, jumlah boost yang tidak diperlukan akan dihala keluar menerusi injap pelepas Tial.

Untuk membentuk campuran sempurna, bekalan bahan api dihantar oleh pam petrol Epman. Ia kemudian dibawa ke rel bahan api HKS, sebelum dilaras menggunakan unit regulator Epman. Aspek cucuhan dibantu kabel pencucuh NGK R09, manakala proses pemetaan enjin ditala dengan cip ECU kustom.

Persembahan ruang kokpit kini menyerupai sebuah Satria R3 sebenar. Ada tempat duduk Recaro SR4, stereng Momo Tuner, tombol gear karbon, termasuk tali pinggang, panel pintu dan tempat duduk belakang Satria R3. Bagi tujuan pemantauan, gajet elektronik mengandungi unit RSM, SAFC2 dan AVCR, serta sebuah meter boost EL2 dari Apexi.

Sapa kata main MDM tak cun. Kalau kena caranya, sesuatu yang sudah sedia baik boleh dipertingkatkan walaupun masih mengekalkan konsep yang sama.

SPESIFIKASI