Baru-baru ini, terdapat laporan yang mengatakan bahawa harga alat ganti kenderaan bakal dinaikkan sehingga 60 peratus dalam tempoh terdekat. Hal ini berikutan masalah bekalan dan peningkatan kos pengangkutan selepas semua sektor ekonomi dibuka dan aktiviti merentas negeri dibenarkan.
Namun begitu, dakwaan ini telah disangkal oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari. Menurut beliau, walaupun perubahan harga berpandukan isu semasa mungkin boleh terjadi, pasaran alat ganti di Malaysia telah lama diliberalisasikan dan tertakluk kepada persaingan oleh pelbagai pembekal alat ganti.
Peningkatan harga alat ganti ini bukan sahaja membimbangkan para pemilik kenderaan malah sudah semestinya memberi tekanan kepada pemilik kenderaan yang terpaksa berhadapan dengan banyak lagi kenaikan harga barang yang lain.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Usahawan Pembangunan Automotif Wanita Malaysia (PUSPAWM), Mastinah Mohamad Sani, berkata berlaku kenaikan beberapa komponen dan alat ganti kenderaan sejak dua bulan lalu tetapi tidak melebihi 20 peratus.
“Sebagai contoh, harga tayar naik antara lima peratus hingga sepuluh peratus sejak September. Kami juga mendapati harga alat ganti naik antara 10 hingga 20 peratus, bukannya sebagai mana didakwa sehingga 60 peratus,” katanya.
Mastinah berkata, kenaikan komponen dan alat ganti kenderaan berkemungkinan disebabkan oleh kesan penutupan kilang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Jun hingga September lalu.
“Kami juga mendapati ada kenaikan harga besi dan aluminium pada bulan lalu yang mana akan meningkatkan kos alat ganti atau komponen berkaitan, begitu juga dengan harga gas pendingin hawa yang telah meningkat dua bulan lepas,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd (PESB), Roslan Abdullah pula berkata, harga komponen dan alat ganti Proton tidak meningkat dan pengeluar kereta nasional itu tidak bercadang menaikkan harga meskipun kos pengeluaran naik selari dengan peningkatan kos bahan mentah dunia.
“Proton juga memantau harga jualan oleh pengedar alat ganti sah. Ketika ini, tiada tanda akan naik harga (komponen dan alat ganti).
“Tidak buat pada masa ini (menaikkan harga komponen dan alat ganti) kerana Proton mengambil kira keadaan ekonomi semasa,” katanya.
Sumber : Berita Harian