KERETA SEKOLAH LAMA YANG JARANG-JARANG BOLEH JUMPA – MITSUBISHI GALANT GTO

Di Jepun sendiri, Mitsubishi GTO ni jatuh dalam kategori rare. Tanya saja siapa dan di mana, mencari orang untuk restore semula kereta olskool jenama Mitsubishi adalah langkah terakhir yang dibuat.

Ketika kereta ni dilahirkan, ia berdepan dengan populariti kuat dari Toyota dan Datsun. Di Jepun, brand macam ni hanya disimpan di kalangan mereka yang purist, sama macam model-model lama Isuzu dan Subaru (prince dan Toyopet juga)

Brader Amirul Ihsan ni seorang jejaka tampan berdarah bangsawan kacukan Pan Asia yang berasal dari Kuantan. Pertama kali Abang Japar tengok kereta ni semasa dipamerkan dalam pameran Art Of Speed beberapa tahun lepas di Citta Mall.

Mall ni best sebenarnya kalau weekend tak padat macam Mid Valley. Korang tau tempat paling kanina masa hujung minggu?, Sogo, KLCC tak payah cerita, IKEA – cuba pergi sana waktu petang Masyaallah macam nak meletup.

Walaupun berjuta manusia, paling best ialah saiz surau dia yang lebih kurang saiz surau rumah Amirul (Ya dalam rumah dia ada surau!!). Cukup untuk beberapa orang saiz jemaah bersaiz bukan Abang Japar.

Lama sebelum Abang Japar minat kereta ni nak cari owner pun malas kat tengah panas masa tu Echot anak bongsu Abang Japar tu pun berdukung lagi. Cari punya cari punya cari masa balik ke Stutgart kelmarin jumpalah geng olksool KB dan dapatlah menghubungi brader ni.

Abang Japar suka konsep dan jalan cerita berbanding kereta. Kalau tengok gaya hidup Amirul ni memang jenis simple dan seadanya. Mak ayah dia memang jenis menyokong, ayah ada hobi kumpul barang kayu dan mak pulak tanam bunga.

Si Amirul ni pulak kerja nya mengumpul barang buruk. Namakan saja, signboard, botol taucu, dulang Astro, pelekat budu, beca, motor zaman perang semua dia kumpul. Serius, benda ni kebanyakannya hobi Mat Salleh di US.

Hobi itu bertukar menjadi serius bila bangsal khusus dibina di sebelah rumah. Dan bila ia nak diselaraskan dengan hobi semasa, beliau membeli Mitubishi GTO atau nama penuh dalam kad pendaftarannya Mitsubishi Colt Galant GTO GSR 2000cc.

Seingat Abang Japar masa kecik pun Galant yang biasa kita jumpa pun bukanlah jenis coupe berpintu 2 ni. Ingat lagi falsafah yang kami sebut dulu tu? Bila kereta itu sukan, ia mesti pintu 2 Kecuali lori.

Berbalik kepada hobi tadi. Kalau kau biasa tengok dokumentari macam American Pickers atau Rick Restoration, kita boleh tengok betapa diorang menghargai barang-barang lama ni. Di Malaysia, industri ni tak berkembang mana. Ada saya dengar pemulih barang-barang ni tapi bukan dalam skala yang besar, kebanyakannya buat lebih ke arah hobi.

Ada bezanya bila sebuah kereta lama dihantar kedai berbanding dibuat sendiri. Walaupun tanpa pengetahuan teknikal, 90 peratus kereta ni dipulihkan sendiri oleh Suamiku Encik GTO ketam telur masin ini. Kagum juga la kalau tengok hasil kerja dia dengan kesungguhan dan minat yang ditunjukkan.

Enjin asal kereta ni ialah jenis Astron 4G52 GSR. Tahun 1973 dengan rekaan macam ni memang nampak garang untuk sebuah pembuat kereta yang dulunya lebih banyak buat pesawat dan alat penghawa dingin.

Tak ada apa yang istimewa, kecuali sepasang karburetor Weber 40DCOE dan set ekzos saluran terus dia punya bunyi memang boleh buat bergaduh dengan imam kalau rumah sebelah masjid.

Kotak gear, bahagian mekanikal yang lain semuanya kekal asal, termasuklah sistem suspensi tradisional spring dedaun kat belakang. Modified sikit lebih kurang dan pasangkan dengan rim SSR mesh dengan saiz 15 X 7.5 di depan dan 15 X 8.5 di belakang.

Tahu benda apa yang buat Abang Japar kagum?. Jejaka yang pernah digelar Roy ni baru berusia 26 tahun sewaktu kereta ini dirakamkan. Jarang budak muda nak beli kereta otai ni sebenarnya.

Pemuda kacak yang pernah menjadi finalis model tepi kolam renang majalah Mempelam ni telah mengecat sendiri badan kereta dengan warna oren matt ni.

Serius, kalau belek dengan teliti pun, tak siapa sangka kau boleh restore kereta begini dalam garaj biasa-biasa tepi rumah saja. Dan benda paling mahal yang brader Roy ni ialah emblem je pun. Itupun pasal tak boleh buat sendiri, cari pun tak jumpa, so tak ada pilihan lain kenalah beli juga.

Balik dari rumah brader kacak ni buat fikiran Abang Japar menerawang, sebenarnya duduk kampung ni adalah nikmat yang tak boleh dibeli. Udaranya segar, angin lembut sambil minum oren tepi kerusi nampak rumput, lembu, kambing, kanggaroo, penguin dan sebagainya.

Duduk KL apa kau nampak? Peragut naik 125Z, kereta polis kejar penjahat, suhu kat rumah panas ya rabbi dan sebagainya lah pun.

Ada duit, Abang Japar nak beli tanah kat Kodiang buat rumah papan setingkat.

Abang Japar nak beli Datsun Baulu, ketuk ketuk ketuk bila ada masa lapang.

Convert jadi Hakosuka.

Steady tak?