Hampir 9 Daripada 10 Responden (89.9%) Menyatakan Minat Untuk Memandu EV Menerusi SOCAR

Satu kajian yang dijalankan baru-baru ini telah mengesahkan bahawa wujud peluang yang ketara bagi SOCAR untuk memperkasakan rakyat Malaysia dalam mencapai akses kepada kenderaan elektrik (EV) menerusi pilihan mobiliti fleksibel. Dunia sedang berusaha menggalakkan para pemandu untuk bertukar daripada kereta tradisional yang dikuasakan oleh enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada EV, namun harga EV yang agak tinggi terus menjadi batu penghalang utama di Malaysia. Harga EV adalah 30% hingga 40% lebih tinggi berbanding kereta ICE, dan pembeli kereta di Malaysia enggan membayar lebih, di mana kebanyakan mereka mahukan harga yang sama dengan kereta konvensional (23.88%), manakala hanya segelintir yang sanggup membayar harga sehingga 10% (17.21&) atau 30% (16.06%) lebih tinggi1.

Di dalam kajian yang dijalankan oleh SOCAR Mobility Asia di kalangan 236 responden2, hampir 9 daripada 10 responden (89.9%) menyatakan minat untuk memandu EV menerusi SOCAR, satu petunjuk yang memberangsangkan memandangkan hanya satu per lima daripada mereka (19.9%) pernah memandu kenderaan elektrik bateri (BEV) sebelum ini, walaupun hampir separuh (49.6%) pernah cuba memandu kenderaan hibrid. Ini menunjukkan wujud kelompangan pengalaman yang besar dari segi pengalaman menggunakan EV tulen di kalangan penduduk negara ini. Para responden turut mengulangi halangan penggunaan EV yang sememangnya diketahui umum iaitu harga yang tinggi (85.2%) dan ketersediaan stesen pengecasan yang terhad (72.5%) sebagai sebab utama kenapa mereka tidak memandu atau memiliki sebuah EV. Namun begitu, minat mereka yang positif terhadap penggunaan EV berdasarkan impak alam sekitar (74.6%) dan penjimatan kos minyak (74.2%) memberikan petanda baik ke arah penggunaan EV jika halangan kos dan infrastruktur dapat ditangani.

“Daripada kajian itu, kita dapat melihat dengan jelas bahawa wujud minat ke arah penggunaan EV dan sentimen positif terhadap manfaatnya. Walau bagaimanapun, halangan kos yang termasuk harga untuk membeli dan menyelenggara, serta kekurangan infrastruktur EV yang sememangnya menjadi kebimbangan dari segi jarak pemanduan, adalah isu yang mesti ditangani secara berkesan dan strategik bagi menggalakkan penggunaan EV. Di SOCAR, kami mengalu-alukan usaha Kerajaan untuk menggalakkan mobiliti yang lebih hijau termasuk komitmen untuk mengembangkan lagi pembiayaan berkaitan kemampanan dalam Belanjawan 2022. Kami juga tidak sabar untuk melihat apakah yang terkandung di dalam Pelan Tindakan Pembiayaan Mampan3 dan mendengar lebih lanjut mengenai rangka kerja insentif cukai untuk pengimportan EV di dalam Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-20304. Ini akan memudahkan lagi usaha penyedia perkhidmatan mobiliti menambah EV ke dalam flit kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SOCAR Mobiliti Asia, Leon Foong.

Dengan kerjasama awam-swasta menjadi faktor utama dalam mewujudkan sebuah sistem yang menyeluruh bagi memacu peralihan kepada EV, Foong berkata SOCAR telah mengambil peluang ini untuk bekerja rapat dengan rakan-rakan industri bagi meluaskan lagi ekosistem EV secara holistik, daripada infrastruktur untuk perkhidmatan sokongan hinggalah kepada kemudahan untuk mengitar semula bateri di masa depan. Beliau turut mencadangkan kolaborasi bagi mewujudkan kedai sehenti digital Kenderaan Elektrik untuk pemandu Malaysia, bagi mempertingkatkan lagi pengalaman pemilikan dan pemanduan EV dengan menyediakan maklumat berkaitan di hujung jari, daripada bimbingan dalam pengiraan penjimatan hasil penggunaan EV dan tuntutan faedah cukai hinggalah kepada membantu mencari titik pengecasan dan bengkel yang bersesuaian.

Mengoptimumkan data untuk pelancaran strategik
Foong berkata data yang dikumpulkan oleh SOCAR adalah sumber penting untuk menambah baik pengalaman pemanduan EV, kerana ia menyediakan maklumat yang membolehkan kolaborasi dengan pemain infrastruktur pengecasan dan penyedia perkhidmatan mobiliti lain bagi merancang lokasi penyediaan perkhidmatan EV dengan lebih berkesan. Ini seterusnya akan membantu Malaysia mencapai sasaran untuk memasang 7,000 titik pengecasan AC dan 500 titik pengecasan DC di seluruh negara menerusi pendanaan kerajaan9 yang disertakan dengan insentif untuk sektor swasta membina infrastruktur bagi rangkaian pengecasan pantas kebangsaan di bawah Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE) untuk mencapai sasaran 125,000 titik pengecasan menjelang 20304.

“Sebagai contoh, data kami boleh membantu TNB memastikan bekalan yang mencukupi di titik pengecasan yang bersesuaian dan mengimbangi bebanan dengan lebih cekap di semua lokasi strategik, manakala penyedia perkhidmatan mobiliti boleh mengoptimumkan data bagi memastikan stesen pengecasan dibina di lokasi yang tepat bagi memenuhi permintaan pemanduan di dalam bandar dan jarak jauh. Keupayaan SOCAR untuk menawarkan EV di seluruh zon liputan kami di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Ipoh dan Melaka turut memberi peluang kepada lebih ramai orang untuk menguji EV dalam suasana pemanduan harian dan merasai manfaat memandu EV serta pengalaman mengecas yang mudah menerusi rangkaian rakan kami,” tambah beliau lagi. Di dalam kajian tersebut, para responden telah menyuarakan minat untuk menggunakan EV bagi tujuan pemanduan di dalam bandar (73.3%), pemanduan harian (58.5%) dan pemanduan hujung minggu (58.1%).

Memandangkan sokongan penyelenggaraan juga penting bagi menggalakkan penggunaan EV, SOCAR menyasarkan untuk bekerjasama dengan pusat penyelenggaraan dan servis yang diiktiraf serta berkelayakan yang dapat memenuhi keperluan flit yang digunakan sepenuhnya. Berdasarkan kajian tersebut, pusat servis ini berkemungkinan besar akan dimulakan dengan kerjasama jenama automotif terkemuka Amerika Syarikat dan Eropah, kerana para responden paling berminat melihat SOCAR menawarkan Tesla Model 3 (72%), BMW i3 Electric (58.9%), Tesla Model Y (57.2%) dan Volvo XC40 Recharge (56.8%).

Mobiliti fleksibel memacu penggunaan EV
Memandangkan ramai rakyat Malaysia masih berusaha untuk berjimat dalam belanjawan mereka hari ini, ini menekankan lagi peranan mobiliti fleksibel dalam memenuhi keperluan orang ramai. Kajian mendapati seramai 61.8% responden hanya sanggup membelanjakan sehingga RM999 sebulan untuk memiliki sebuah EV, jadi ianya penting untuk menyokong keinginan mereka untuk mendapat akses kepada EV melalui langganan bulanan (53.8%) atau sewaan mengikut jam (49.2%) dan harian (47.9%). Bagi mereka yang ingin memiliki EV, mobiliti fleksibel turut menyediakan pilihan untuk mengimbangi kos pemilikan dan penyelenggaraan, melalui perkongsian kereta dan akses kepada stesen pengecasan mereka dengan pemandu lain di TREVO bagi meraih pendapatan tambahan. Penggunaan EV adalah sebahagian daripada masa depan mobiliti dan sememangnya sangat sesuai untuk konsep berteraskan masa depan seperti mobiliti multifleks menjadi faktor utama dalam usaha meluaskan akses kepada EV dan meningkatkan penggunaannya.