HADI’S PREVO

Rakan gaduh kepada Rain adalah kereta ini, sebuah Preve CFE yang juga telah selamat dinaik taraf. Seperti pengguna kaki berat yang lain, masalah dihadapi Hadi berpunca dari keupayaan enjin asal yang agak tepu dan kurang menyerlah. Nak bawak santai-santai takde masalah. Tapi bila cuba dikerah, enjin CamPro CFE dengan kotak gear CVT itu akan mula memberontak, menyebabkan masalah tekanan dan kemurungan kepada pemilik.

Nak kata tak bikin, rasanya macam-macam dah buat. Namun respon yang diterima, boleh menjadi bahan kepada Sinopal untuk gelak guling-guling. Mujur ia masih sebuah kereta yang bagus. Kelebihan paling nyata terletak pada keteguhan binaan casisnya, yang jauh lebih tegar berbanding siri Evo terdahulu.

Menerusi racunan kawan-kawan, Hadi akhirnya mengambil keputusan untuk memencenkan kudrat enjin asal, bagi memberi laluan kepada enjin Mitsubishi 4G63T yang lebih mesra kuasa. Pilihan yang dibuat juga bukan besher-besher, selepas berjaya mendapatkan sebuah enjin dari casis Evo VIII FQ300 yang datang dengan transmisi manual 6-kelajuan. Kira lazat jugaklah. Belum sempat kena jentik dah boleh cecah 310 herspers.

Memandangkan ia baru saja selesai disalin, tiada perubahan besar yang dilakukan kecuali penempatan intercooler dan paip sambungan kustom, serta tambahan injap pelepas Turbosmart Vee Port. Sementara keseluruhan sistem lain masih lagi standard, sama ada menggunakan komponen milik Preve ataupun dari Evo selaku donor.

Berbanding Persona dan Saga, rekabentuk Preve masih memiliki perkadaran yang seimbang. Binaan arch pada setiap ruang roda itu juga, membantu memberi imej lebih sado pada pandangan sisi. Yang mungkin janggal, keadaan badannya yang kurang labuh. Ia diselesaikan menerusi padanan lip depan R3, serta set skirting ala Rieger untuk sisi dan belakang. Tambahan aksesori lain termasuklah spoiler GT Voltex, selain binaan hood dan vent udara kustom.

Sektor pengendalian dibantu set suspensi boleh laras ZerOne SSR550. Sistem hentian bagaimanapun, masih mengharapkan kemampuan komponen asal. Bagi mengisi ruang rodanya yang sedia gomok, rim SSR Type C berukuran 17-inci telah dipilih dan dipadankan bersama tayar Rovelo Sport A1 dari saiz 235/45R-17.

Keadaan ruang dalam masih mengekalkan sebahagian komponen asal, kecuali sepasang tempat duduk Millennium di barisan depan. Senarai gajet lain meliputi sepasang meter GReddy, pengawal boost GReddy Profec B Spec II serta tombol gear dari RalliArt. Ciri-ciri penting seperti meter utama, sistem lampu, audio dan penghawa dingin, terus dikekalkan dan masih lagi berfungsi seperti unit Preve yang asal.

Selepas berdepan macam-macam masalah, Proton akhirnya mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan Zheijang Geely, bagi mengukuhkan semula kedudukannya dalam pasaran. Menerusi pelan pemulihan berkenaan, mereka tidak menunggu lama untuk memperkenalkan model SUV X70 sebagai produk pertama. Boleh tahan lakunya.

Persoalannya sekarang, adakah Proton sudah kembali mengamalkan polisi tukar logo seperti dulu-dulu atau akan diberi peluang membina produk sendiri seperti model Preve ini pada masa hadapan?? Acaner tu Sinopal?